Dari Meja Editorial
MALAYSIA sejak sekian lama dikenali sebagai sebuah negara majmuk yang dihuni oleh pelbagai kaum dan penganut agama.
Kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara banyak bergantung kepada sejauh mana keharmonian antara kaum dan agama dapat dipelihara dengan baik.
Dalam konteks inilah kerajaan pada Februari 2010 telah menubuhkan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JPKA), suatu mekanisme rasmi bertujuan menangani isu sensitif berkaitan agama serta mengukuhkan persefahaman dalam kalangan rakyat pelbagai kepercayaan.
Ketika penubuhannya, JPKA dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan dalam meredakan ketegangan yang timbul akibat beberapa insiden sensitif melibatkan agama.
Jawatankuasa ini dilaporkan bertanggungjawab sepenuhnya kepada Kabinet melalui dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu itu, iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Laporan jawatankuasa akan dihantar kepada mereka sebagai menteri sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk pertimbangan lanjut.
Pengerusi pertamanya ialah (Allahyarhamah) Datuk Ilani Isahak dan kemudiannya dipengerusikan oleh Datuk Azman selaku Ketua Pengarah JPNIN. Dari segi struktur, ia kelihatan tersusun dan mempunyai saluran rasmi untuk mempengaruhi dasar di peringkat tertinggi kerajaan.
Namun, selepas lebih sedekad berlalu, timbul persoalan besar dalam kalangan masyarakat, masih wujud lagikah jawatankuasa ini, atau ia telah tenggelam tanpa khabar berita? Jika ditukar nama baharu sekali pun, nama jawatankuasa ini amat jarang sekali disebut dalam perbincangan awam.
Tidak banyak kenyataan media, laporan tahunan atau penjelasan terbuka mengenai hasil mesyuarat serta syor-syor yang telah dibentangkan kepada Kabinet.
Dalam era ketelusan dan akauntabiliti yang semakin dituntut rakyat, ketiadaan maklumat yang jelas menimbulkan persepsi bahawa jawatankuasa ini mungkin tidak lagi berfungsi secara aktif atau sekadar wujud atas kertas.
Lebih membimbangkan, pelbagai isu melibatkan sensitiviti agama terus timbul dari semasa ke semasa. Antaranya termasuk pertikaian berkaitan rumah ibadat bukan Islam, sama ada dari segi kelulusan pembinaan, bantahan komuniti setempat atau tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan.
Isu seperti ini sering menjadi polemik dan berpotensi menggugat keharmonian masyarakat jika tidak ditangani secara bijaksana dan adil. Dalam situasi sebegini, rakyat tertanya-tanya di manakah peranan JPKA sebagai platform dialog, perantara dan penasihat dasar?
Mengapa tidak kelihatan pendirian atau cadangan konkrit yang dapat meredakan ketegangan sebelum ia menjadi lebih serius?
Fenomena ini juga menghidupkan kembali kritikan lama terhadap budaya pentadbiran yang gemar menubuhkan pelbagai jawatankuasa setiap kali timbul isu.
Walaupun penubuhan jawatankuasa boleh dianggap sebagai tanda kesungguhan untuk bertindak, ia akan menjadi sia-sia sekiranya fungsi, keberkesanan dan hasilnya tidak jelas kepada umum.
Rakyat akhirnya bukan sahaja lupa akan nama jawatankuasa yang panjang dan kompleks, malah mempersoalkan rasional perbelanjaan yang terlibat jika impaknya tidak dirasai.
Persepsi pembaziran mudah timbul apabila struktur diwujudkan tanpa laporan kemajuan yang telus dan pencapaian yang boleh diukur.
Dalam hal JPKA, persoalan yang wajar ditimbulkan bukan sekadar mengenai kewujudannya, tetapi juga keberkesanannya dan apa pula laporan dikemukakan kepada Kabinet sejak 2010?
Apakah dasar atau garis panduan yang lahir daripada perbincangan jawatankuasa ini? Adakah syor-syor tersebut diterima dan dilaksanakan oleh kementerian atau agensi berkaitan?
Tanpa jawapan yang jelas, keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memelihara keharmonian antara agama akan terus terhakis.
Sekiranya jawatankuasa ini masih wujud, maka sudah tiba masanya kerajaan memperkemaskan fungsinya dan memaklumkan peranannya secara terbuka kepada masyarakat.
Penerbitan laporan tahunan, penganjuran dialog antara agama secara berkala serta mekanisme respons pantas terhadap isu sensitif adalah antara langkah yang boleh mengembalikan keyakinan rakyat.
Dalam negara yang majmuk seperti Malaysia, pengurusan isu agama tidak boleh bersifat reaktif semata-mata, sebaliknya perlu dirancang dengan pendekatan menyeluruh dan inklusif.
Hakikatnya, penubuhan JPKA pada tahun 2010 mungkin berasaskan niat yang baik untuk memastikan keharmonian terus terpelihara. Namun, dalam pentadbiran awam, niat sahaja tidak mencukupi tanpa pelaksanaan yang konsisten dan hasil yang dapat dilihat.
Rakyat berhak mengetahui sama ada jawatankuasa ini masih memainkan peranan signifikan atau telah menjadi sebahagian daripada sejarah birokrasi yang dilupakan.
Keharmonian antara kaum dan agama adalah asas kestabilan negara; ia tidak boleh disandarkan kepada struktur yang kabur atau tidak berfungsi secara efektif.
Jika benar kerajaan serius dalam memelihara perpaduan, maka setiap mekanisme yang diwujudkan mestilah benar-benar hidup, aktif dan memberi kesan nyata kepada masyarakat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L