NILAI – Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan (JKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus melakar sejarah baharu apabila muncul sebagai jabatan bukan akademik pertama di universiti awam Malaysia yang menawarkan Program Persijilan Kemahiran Malaysia (PKM) serta berjaya menjana pendapatan untuk universiti, di samping menjadi Universiti Awam (UA) pertama melaksanakan Waktu Bertugas Syif Komprehensif khusus untuk pegawai keselamatan.
Pencapaian berimpak tinggi ini dizahirkan dalam Perhimpunan Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan Bersama Naib Canselor USIM yang berlangsung di Dataran Canselori, disempurnakan Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.
Dalam ucapannya, Dr, Sharifudin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada JKP atas keupayaan bekerja di luar kebiasaan peranan tradisional jabatan keselamatan serta berani meneroka pendekatan baharu yang memberi nilai tambah kepada universiti.

“Inisiatif JKP ini membuktikan inovasi boleh dicetuskan oleh mana-mana jabatan, termasuk jabatan bukan akademik, apabila wujud keberanian untuk berfikir di luar kotak serta kejelasan hala tuju yang berpaksikan keperluan semasa,” ujar beliau.
Antara pencapaian utama diketengahkan ialah kejayaan pelaksanaan Program Persijilan Kemahiran Malaysia melalui Pusat Latihan Dalaman USIM TalentCraft, yang telah memperoleh insentif geran dan khidmat konsultasi bernilai ratusan ribu ringgit, selain berjaya menjana pulangan kewangan kepada USIM dan pusat tanggungjawab terlibat.
USIM TalentCraft turut menerima pentauliahan mengikut Code of Practice for TVET Programme Accreditation (COPTPA) bagi empat bidang utama iaitu Keselamatan, Pentadbiran Pejabat, Pengurusan Masjid dan Pengajaran Al-Quran Braille, sekali gus menjadikan JKP sebagai perintis pelaksanaan TVET dalam kalangan jabatan bukan akademik universiti awam.
Bagi tahun 2026, Jabatan ini sekali lagi mencatat kejayaan apabila ditawarkan Insentif Program Persijilan Kemahiran Malaysia secara Akademi Dalam Industri berjumlah RM310,000, melibatkan Program Operasi Masjid dan Pengajaran Al-Quran Braille.
Selain pencapaian dalam bidang latihan dan penjanaan kewangan, Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan USIM turut mencipta satu lagi sejarah apabila menjadi Universiti Awam pertama di Malaysia yang melaksanakan Waktu Bertugas Syif Komprehensif khusus untuk pegawai keselamatan.
Pelaksanaan sistem ini menetapkan jumlah jam bekerja sebanyak 180 jam bagi tempoh empat minggu berturutan, dengan pengoptimuman syif 12 jam sehari serta penjadualan 2 hari bertugas (On Duty) dan 2 hari rehat (Off Duty) secara berterusan. Sistem ini dirangka secara holistik bagi pegawai yang bertugas di bawah Waktu Bertugas Bukan Pejabat (WBBP), sejajar dengan keperluan operasi keselamatan kampus yang berfungsi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.
Menurut Pengarah JKP, Mohd Shahrul Nizam Mohamed Shamsuddin, pelaksanaan waktu bertugas syif komprehensif ini bukan sekadar memenuhi keperluan operasi, malah mengambil kira keadilan dan keseimbangan pengurusan sumber manusia.
“Sebagai universiti yang pesat membangun, USIM memerlukan sistem penugasan yang bukan sahaja berkesan dari sudut kawalan keselamatan, tetapi juga adil, mampan dan menjaga kebajikan pegawai,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, penyusunan jadual syif yang lebih seimbang membantu mengurangkan keletihan fizikal dan mental, seterusnya meningkatkan kesiapsiagaan, profesionalisme serta kualiti perkhidmatan pegawai keselamatan.
Pendekatan ini selari dengan Teras 4K Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan iaitu Keselamatan, Kesepakatan, Kesejahteraan dan Kelestarian Kewangan, serta amalan pengurusan sumber manusia moden yang menitikberatkan kesejahteraan pekerja sebagai faktor utama keberkesanan organisasi.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Kelab Angkatan Mahasiswa Keselamatan (AMAN@USIM) sebagai platform memperkukuh hubungan strategik antara pelajar dan Jabatan Keselamatan, di samping memupuk budaya pencegahan dan tanggungjawab bersama dalam aspek keselamatan kampus.
Dengan kejayaan melaksanakan Persijilan Kemahiran Malaysia, menjana kewangan universiti, memperkenalkan sistem syif komprehensif pertama dalam UA, serta memperkukuh infrastruktur keselamatan kampus, Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan USIM kini diiktiraf sebagai model transformasi jabatan bukan akademik yang progresif, inovatif dan berdaya saing di peringkat universiti awam Malaysia.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L