Oleh: Dr. Mohd Faridh Hafez Mhd Omar

TAHUN ini menuntut suatu anjakan naratif dakwah yang lebih segar, berani dan berteraskan realiti semasa, seiring dengan krisis perubahan iklim, kerosakan alam sekitar dan bencana cuaca ekstrem yang kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat di negara ini.
Realiti banjir besar, krisis air, pencemaran udara serta ancaman terhadap keselamatan makanan bukan lagi isu pinggiran, sebaliknya telah menjadi cabaran mendesak yang menjejaskan kehidupan seharian rakyat.
Situasi ini menuntut tindakan kolektif yang tuntas dan bersepadu melalui peranan bersama agamawan, jentera pentadbiran kerajaan serta masyarakat sivil agar penyelesaian yang holistik dan berkesan dapat dilaksanakan demi kesejahteraan bersama.
Dalam konteks ini, dakwah Islam tidak boleh kekal terperangkap dalam kerangka ritual semata-mata, sebaliknya perlu tampil sebagai suara moral dan peradaban yang mendesak semua pihak untuk mengutamakan menjaga keseimbangan bumi.
Ketika merasmikan Konvensyen Dakwah Negara: Dakwah dan Kelestarian Alam serta pelancaran buku Al-Mizan: Sebuah Perjanjian Dengan Bumi baru-baru ini (20 Disember 2025), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan memberikan isyarat jelas naratif dakwah berkaitan alam sekitar perlu diarusperdanakan sebagai agenda penting negara.
Ia bukan lagi wacana pinggiran, tetapi sebahagian daripada agenda dakwah nasional yang perlu diterjemahkan secara sistematik pada tahun 2026. Beliau menegaskan, agenda pemerkasanaan dan kesedaran menjaga alam sekitar serta penghasilan model kawasan mesra alam sekitar yang bersih serta segar suasana dan udaranya akan digerakkan melalui masjid, surau dan para imam terlatih di seluruh negara.
Daripada retorik kepada etika kehidupan
Selama ini, dakwah sering difahami secara sempit sebagai penyampaian hukum-hakam dan ibadah individu. Walhal Islam sejak awal telah meletakkan manusia sebagai khalifah yang memikul amanah memakmur dan memelihara bumi.
Hal ini terakam dalam surah Al-Baqarah, ayat 30, yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
Ayat di atas sangat jelas menyatakan objektif penciptaan manusia sebagai khalifah bertanggungjawab memelihara kemakmuran setiap yang hidup di atas muka bumi secara seimbang dari aspek kerohanian dan fizikal.
Prinsip al-mīzān (keseimbangan), amanah, wasatiyyah dan larangan fasād (kerosakan) merupakan asas teologi ekologi Islam yang kukuh lalu menjamin kehidupan lestari.
Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi melalui karyanya Fiqh al-Bī’ah fī Ḍaw’ al-Islām dalam hal ini menegaskan, pencipataan manusia datang bersama amanah untuk memelihara kesempurnaan bumi dan seisinya untuk dinikmati hasilnya, bukan mengekploitasi dan merosakkan alam demi kepentingan yang tidak berkekalan.
Malah, Allah SWT memberi amaran tegas terhadap tangan-tangan yang merosakkan alam sebagai tergolong dalam kumpulan yang melakukan keburukan dan kerosakan (Al-Rum, ayat 41).
Dengan demikian, naratif baharu dakwah alam sekitar mesti bergerak daripada retorik kesedaran kepada etika kehidupan seharian yang sentiasa mengutamakan kesihatan alam dan bumi dipelihara.
Isu seperti pembaziran makanan, penggunaan plastik berlebihan, pencemaran sungai, penebangan hutan tanpa kawalan dan gaya hidup konsumerisme yang merisikokan kelestarian alam perlu dicegah secara bersama, bukan sekadar pilihan peribadi atau tanggungjawab kerajaan semata-mata.
Menghubungkan Wahyu dan Realiti Global
Pelancaran buku terjemahan berjudul Al-Mizan: Sebuah Perjanjian Dengan Bumi membawa makna besar dalam usaha membina naratif dakwah yang lebih berwibawa dan global khususnya dalam aspek pemeliharan alam sekitar dan mengarusperdanakan kepentingan kesedaran kerosakan iklim.
Karya ini hasil terjemahan sekumpulan penulis yang diketuai Prof. Emeritus Datuk Dr. Azizan Baharuddin menghubungkan ajaran Islam dengan krisis alam sekitar dunia melalui pengukuhan nilai berpandukan prinsip al-Quran dan Sunah, di samping penyelesaian secara saintifik, teknikal dan politik untuk mengekalkan keseimbangan alam untuk kebaikan bersama.
Buku ini menekankan bahawa pemeliharaan alam adalah sebahagian daripada tanggungjawab spiritual umat Islam terhadap Allah SWT dan seluruh ciptaan-Nya.
Selain itu, pendekatan dakwah alam sekitar turut selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan, keadilan, ihsan dan kemampanan.
Perubahan iklim merupakan isu kesejahteraan sejagat yang memberi kesan langsung kepada seluruh masyarakat, namun golongan miskin serta generasi akan datang adalah pihak yang paling terkesan akibat kegagalan mengurus dan memelihara bumi pada hari ini.
Oleh itu, dakwah alam sekitar bukan sekadar menyeru individu berakhlak baik, tetapi lebih utama membentuk kesedaran kolektif yang menuntut tadbir urus yang beramanah, pembangunan seimbang dan penggunaan sumber alam secara lestari yang boleh dikongsi bersama antara manusia, haiwan, tumbuhan dan makhluk selainnya.
Penglibatan generasi muda
Dalam menjayakan agenda dakwah alam sekitar, penglibatan generasi muda terhadap isu alam sekitar tidak boleh dipandang ringan. Generasi muda adalah agen penyampai dakwah yang paling berkesan terutamanya melalui kandungan interaktif dan kreatif di media sosial.
Penulis berpandangan, kegagalan memberi ruang mereka berperanan dalam isu ini akan merisikokan gaya hidup mereka di masa hadapan lalu mengakibatkan dunia akan “kiamat” lebih awal.
Dakwah alam sekitar berpotensi menjadi jambatan penting di antara agama, sains dan masyarakat, sekali gus memulihkan keyakinan seluruh warga khususnya generasi muda bahawa Islam adalah agama yang memimpin kehidupan sepanjang zaman, relevan dalam setiap aspek kehidupan serta memberikan solusi untuk mencapai kesejahteraan dalam kehidupan.
Tahun 2026 seharusnya menjadi pemacu untuk menjadikan dakwah alam sekitar sebagai teras dakwah peradaban Islam khususnya di era Malaysia Madani.
Diam terhadap kerosakan bumi bukan bermaksud bersikap neutral, tetapi kegagalan menunaikan amanah sebagai khalifah Allah dalam memelihara kelestarian alam sekitar yang mana kesan kerosakannya akan dirasai oleh generasi akan datang.
Jelas, naratif baharu dakwah alam sekitar bukan lagi satu pilihan, sebaliknya suatu keperluan mendesak dalam menghadapi cabaran semasa. Islam tidak hanya diturunkan untuk menyelamatkan manusia di akhirat, malah berperanan memelihara kehidupan di bumi agar manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan.
Jika dakwah ingin kekal relevan, ia mesti berani memimpin perubahan demi kesejahteraan manusia, kelestarian alam dan masa depan bersama. – ND
Dr Mohd Faridh Hafez Mhd Omar ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, dan Felo Bersekutu, Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L