JAKARTA – Pasukan penyelamat Indonesia mengesahkan penemuan semua 10 mayat mangsa nahas pesawat ATR 42-500 yang terhempas di kawasan berhampiran Gunung Bulusaraung, Maros, Sulawesi Selatan.
Pesawat milik Indonesia Air Transport (IAT) itu disewa oleh Kementerian Kelautan dan Perikanan bagi melaksanakan misi rondaan udara dari Yogyakarta ke Makassar.
Pesawat malang itu membawa tujuh kru dan tiga kakitangan kementerian sebelum terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara kira-kira jam 1.30 tengah hari waktu tempatan.
Pegawai Agensi Mencari dan Menyelamat (BASARNAS) Sulawesi Selatan, Andi Sultan, memaklumkan dua mayat terakhir ditemukan pada awal pagi Jumaat, sekali gus melengkapkan proses pengeluaran semua mangsa secara berperingkat.
Operasi mencari dan menyelamat turut diteruskan bagi mengumpulkan serpihan pesawat yang bertaburan di kawasan pergunungan yang curam serta diselubungi kabus tebal, sekali gus menyukarkan pergerakan pasukan penyelamat.
Sebelum ini, bangkai pesawat dilaporkan ditemui di beberapa lokasi sekitar Gunung Bulusaraung, kira-kira 1,500 kilometer di timur laut Jakarta, dengan keadaan muka bumi yang mencabar menjadi antara faktor utama kesukaran operasi.
Sementara itu, pasukan penyiasat daripada Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) sedang menganalisis kotak hitam pesawat yang telah ditemukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Laporan awal siasatan menunjukkan pesawat dipercayai merempuh lereng bukit dalam keadaan terkawal, berdasarkan penemuan serpihan fiuslaj, bahagian ekor dan enjin yang bertaburan di kawasan nahas.
Insiden ini merupakan nahas pertama melibatkan pesawat model ATR 42 di Indonesia dalam tempoh lebih sedekad, selepas kejadian melibatkan pesawat Trigana Air di Papua pada tahun 2015.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L