AMPANG JAYA – Waris kepada lelaki yang terbabit dalam kontroversi pengurusan jenazah yang didakwa tertangguh hampir sejam di tanah perkuburan tampil membuat laporan polis bagi menafikan kenyataan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang menurutnya telah mencemarkan nama baik dirinya serta keluarga.
Laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya susulan kenyataan media JAIS yang dikeluarkan semalam bagi menjelaskan insiden tersebut.
Dalam laporan polis itu, lelaki berkenaan menafikan dakwaan beliau sebagai datuk kepada si mati berkeras supaya pengurusan jenazah dilakukan oleh Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) seperti dinyatakan dalam penjelasan JAIS.
Beliau mendakwa kenyataan tersebut adalah tidak benar, berunsur fitnah serta berniat jahat terhadap dirinya dan ahli keluarganya.
“Saya menegaskan, saya tidak pernah berurusan dengan pihak Masjid Nurul Hidayah dan ketika kejadian berlaku saya berada bersama jenazah cucu perempuan saya.
“Tujuan saya membuat laporan polis ini adalah untuk menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku terhadap diri saya dan keluarga ketika menguruskan jenazah cucu saya serta menafikan segala dakwaan fitnah melalui audio, penjelasan siak dan kenyataan media JAIS,” katanya dalam laporan tersebut.
Beliau turut memaklumkan, laporan polis itu dibuat sebagai rekod rasmi bagi membolehkan siasatan dijalankan, selain membuka ruang kepada tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa menyebarkan kenyataan yang mencemarkan nama baik keluarganya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkenaan.
“Laporan polis telah diterima dan disahkan. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ringkas ketika dihubungi.
Kontroversi itu tercetus selepas seorang lelaki mendakwa jenazah anak perempuannya tertangguh hampir sejam di tanah perkuburan Islam susulan pertikaian berkaitan caj pengurusan jenazah sebanyak RM1,400 yang didakwa dikenakan oleh sebuah badan khidmat pengurusan jenazah.
Susulan dakwaan itu, siak sebuah masjid tampil memberikan penjelasan berlaku salah faham dalam proses pengurusan jenazah, dengan mendakwa urusan yang pada asalnya dijadualkan dikendalikan pihak masjid telah diambil alih oleh BKS pada saat akhir.
JAIS kemudian mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan dakwaan pihak masjid mengenakan caj RM1,400 kepada waris.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, waris pada peringkat awal berurusan dengan BKS yang tidak mempunyai kaitan dengan pihak masjid, manakala bapa arwah hanya hadir ke masjid bagi mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam sebelum bersetuju agar pihak masjid mengambil alih urusan tersebut.
Menurut beliau, pihak masjid mengeluarkan borang berkenaan selepas menerima daftar kematian asal dan dimaklumkan datuk si mati berkeras mahu pengurusan jenazah diteruskan oleh BKS.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut kini dinafikan oleh waris yang menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian dan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk siasatan lanjut.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L