Tiga tokoh kanan tentera dihadapkan ke mahkamah minggu ini

KUALA LUMPUR – Tiga bekas pemimpin tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk seorang bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) akan dihadapkan ke mahkamah minggu ini bagi menghadapi pelbagai pertuduhan berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, bekas PTD bersama isterinya dijadualkan menghadapi prosiding di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur, esok 22 Januari.

Menurut kenyataan SPRM, kedua-duanya akan didakwa dengan empat pertuduhan masing-masing di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Selain pertuduhan di Kuala Lumpur, bekas PTD berkenaan turut akan berdepan dua pertuduhan tambahan di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, manakala isterinya akan dituduh atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin ini.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM turut mengesahkan bekas Panglima Angkatan Tentera akan didakwa di mahkamah yang sama pada Jumaat, 23 Januari.

Beliau dijangka menghadapi beberapa pertuduhan melibatkan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, satu pertuduhan pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta satu pertuduhan lain di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang dikaitkan dengan pengurusan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).

SPRM turut memaklumkan, siasatan terhadap dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir, dengan kertas siasatan dijangka dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan lanjut.

Suruhanjaya itu menegaskan, tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu akan dilaksanakan tanpa mengira kedudukan atau jawatan, selaras dengan komitmen berterusan untuk membanteras rasuah dan menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *