KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu rasuah yang sedang disiasat melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak boleh dijadikan alasan untuk merosakkan imej keseluruhan pasukan keselamatan negara.
Beliau berkata, majoriti pegawai dan anggota ATM berkhidmat dengan penuh disiplin serta komitmen tinggi, selain memainkan peranan penting dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara.
Menurut Anwar, sebarang dakwaan salah laku wajar ditangani mengikut lunas undang-undang tanpa menjejaskan moral anggota yang setia menjalankan amanah.
“Keamanan dan kestabilan negara yang kita nikmati hari ini adalah hasil pengorbanan anggota keselamatan. Faktor ini juga menjadi asas keyakinan pelabur luar terhadap Malaysia,” katanya pada Majlis Pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), di sini, hari ini.
Anwar berkata, pencapaian perdagangan negara yang mencecah RM3 trilion pada tahun 2025 membuktikan kestabilan politik dan keselamatan negara berada pada tahap diyakini oleh komuniti antarabangsa.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan kekuatan dalaman ATM, termasuk keupayaan Kor Kejuruteraan yang bukan sahaja menyokong operasi ketenteraan, malah menyumbang kepada pembangunan infrastruktur awam seperti pembaikan kemudahan pendidikan dan perumahan.
Katanya, keupayaan sedemikian mencerminkan profesionalisme serta kemahiran tinggi yang dimiliki ATM dan wajar diberi pengiktirafan.
Pada masa sama, Anwar memberi jaminan kebajikan anggota ATM kekal menjadi keutamaan kerajaan, memandangkan tugas mereka menuntut pengorbanan besar termasuk berkhidmat jauh dari keluarga untuk tempoh yang panjang.
Sebelum ini, Tentera Darat Malaysia (TDM) dilaporkan menjadi tumpuan susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah berkaitan proses perolehan melibatkan beberapa individu berpangkat tinggi.
ATM juga diarahkan menjalankan siasatan dalaman terhadap dakwaan pencerobohan individu luar serta aktiviti tidak bermoral di kem tentera yang tersebar di media sosial.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L