Mat Sabu Kesal Negara Islam Sertai Perjanjian Abraham, Lemahkan Solidariti Umat Islam

SHAH ALAM – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melahirkan rasa kesal terhadap tindakan beberapa negara Islam menandatangani Perjanjian Abraham bagi menormalisasikan hubungan dengan Israel, sambil menyifatkannya sebagai satu perkembangan amat menyedihkan dan berpotensi melemahkan moral serta solidariti umat Islam di seluruh dunia.

Menurut beliau, langkah negara-negara Islam terbabit jelas bercanggah dengan semangat perjuangan membela rakyat Palestin, selain berbeza secara ketara dengan pendirian diambil beberapa negara bukan Islam dan berideologi kiri yang lebih lantang menentang tindakan rejim Zionis Israel.

“Kita menyaksikan satu perbandingan yang amat ketara. Negara-negara di luar dunia Islam, yang tiada kaitan langsung dengan agama atau sejarah Palestin, berani mengambil pendirian tegas dengan memutuskan hubungan dagang dan diplomatik dengan Israel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Penyatuan Umat Islam dan Palestin yang berlangsung di sini hari ini.

Menurut Mohamad, perkembangan tersebut seharusnya membuka mata umat Islam untuk bermuhasabah dan menilai kembali peranan serta tanggungjawab mereka dalam mempertahankan hak rakyat Palestin yang terus dizalimi.

Mohamad, yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), turut menyatakan kekaguman terhadap kebangkitan masyarakat awam di Eropah yang secara konsisten mengadakan demonstrasi besar-besaran sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan Palestin.

“Aksi-aksi demonstrasi ini wajar menjadi dorongan kepada umat Islam untuk bermuhasabah dan menaikkan semangat penentangan terhadap kekejaman rejim Zionis Israel yang telah berlarutan lebih 70 tahun,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya menyaksikan sendiri gelombang solidariti tersebut di Eropah.

“Selama lebih dua tahun, rakyat Eropah bangkit menyatakan solidariti bersama Palestin. Saya sendiri telah ke sana sebanyak tiga kali untuk melihat demonstrasi-demonstrasi besar yang dianjurkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad sekali lagi mengulangi gesaan agar negara-negara Islam mengambil langkah tegas dengan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai tindakan minimum bagi melemahkan rejim Zionis.

“Bagaimana kita mahu menterjemahkan iman, kemarahan dan keprihatinan kepada hasil yang bermakna? Sekurang-kurangnya, negara-negara Islam mesti memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel,” tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa usaha penyatuan umat Islam perlu melangkaui perbezaan mazhab, bangsa dan ideologi politik, sebaliknya menumpukan kepada pengenalpastian musuh sebenar umat Islam, iaitu Israel.

Pada masa sama, Mohamad menyambut baik usaha badan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang menganjurkan persidangan bertemakan penyatuan umat Islam sebagai strategi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap situasi sebenar di Palestin.

“MAPIM memainkan peranan penting dengan membawa isu Palestin ke arah penyatuan umat daripada pelbagai kaum, negara dan mazhab supaya kita dapat mengenal pasti musuh bersama,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di acara yang sama.

Persidangan tersebut turut dihadiri beberapa tokoh tempatan dan antarabangsa, antaranya Tunku Mariam Zaharah Sultan Iskandar; Senator Datuk Mujahid Yusof; bekas Menteri Luar, Tan Sri Hamid Albar; serta Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abd Hamid.

Delegasi antarabangsa yang hadir termasuk Ketua Seksyen Konsular Kedutaan Negara Palestin, Amjad Khamaysa; Kaunselor Kebudayaan Pusat Kebudayaan Iran, Habibreza Arzani; serta Setiausaha Agung World Forum for Proximity of Islamic Schools of Thought (WFPIST), Hamid Shahriari.

Sejak 7 Oktober 2023, jumlah korban di Semenanjung Gaza dilaporkan meningkat kepada 71,455 orang susulan serangan berterusan rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin.

Sementara itu, sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 11 Oktober 2025, serangan Israel dilaporkan telah mengorbankan 463 nyawa dan mencederakan seramai 1,269 individu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *