GHS Holdings sasar modal RM30 juta hasil IPO di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Guan Huat Seng Holdings Bhd (GHS Holdings), pengedar dan peruncit produk makanan serta pengeluar perisa berpangkalan di Melaka melancarkan prospektus bersempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

Melalui tawaran awam permulaan (IPO) itu, syarikat menyasarkan kutipan RM30 juta hasil penerbitan 120 juta saham baharu pada harga terbitan 25 sen sesaham.

Hasil IPO akan digunakan bagi membiayai penubuhan kompleks bersepadu baharu (RM12 juta), kemudahan baharu di Krubong (RM9 juta), modal kerja (RM3 juta), perbelanjaan pemasaran (RM1.5 juta) serta kos penyenaraian (RM4.5 juta).

Pengarah Urusan GHS Holdings, Yeo Tien Ee, berkata penyenaraian itu menandakan fasa penting transformasi kumpulan daripada peruncit makanan tradisional kepada pengedar dan peruncit produk makanan yang pelbagai dengan keupayaan pengeluaran dalaman.

“IPO ini akan membolehkan kami mempercepatkan pelan pengembangan, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan penyimpanan melalui kemudahan baharu, serta mengukuhkan kehadiran kami dalam segmen pengedaran dan runcit,” katanya kepada media semasa majlis pelancaran prospektus GHS Holdings di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil IPO dijangka menyokong pengembangan perniagaan pembuatan perisa dan produk makanan untuk pasaran tempatan serta eksport.

“Kami melihat potensi pertumbuhan yang kukuh dalam produk perisa, sos dan produk makanan mudah sedia, khususnya untuk pasaran eksport dan generasi pengguna yang mementingkan kemudahan,” katanya.

GHS Holdings memiliki sejarah jenama sejak 1930-an dan rekod prestasi kira-kira 46 tahun melalui anak syarikatnya, Guan Huat Seng (Heng Kee) Sdn Bhd dan GHS Food Industries Sdn Bhd, yang mengedar pelbagai produk makanan termasuk makanan laut, produk perisa, makanan kering dan snek.

Selain itu, operasi pembuatan perisa dalaman kumpulan diperakui halal serta mempunyai pensijilan HACCP dan MeSTI bagi pengeluaran sos, pes dan serbuk perasa.

Menurut Tien Ee, GHS Holdings turut memanfaatkan pensijilan halal, HACCP dan MeSTI bagi menyokong pengembangan ke pasaran antarabangsa termasuk Asia Timur, Asia Barat dan Eropah.

Pensijilan halal memberi kelebihan kepada kami untuk menembusi pasaran global yang lebih luas, terutamanya di Asia Barat dan China, yang terus menunjukkan permintaan kukuh,” katanya.

Industri perdagangan pengedaran produk makanan dan minuman (F&B) Malaysia merekodkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 7.6 peratus antara 2022 hingga 2024, dengan pertumbuhan 2026 diunjurkan pada lima peratus, dipacu jualan runcit dan promosi bermusim.

Permohonan IPO dibuka semalam hingga 9 Januari 2026, dengan penyenaraian dijadualkan pada 22 Januari 2026.

Selepas penyenaraian, permodalan pasaran GHS Holdings dianggarkan RM118.38 juta.

TA Securities Holdings Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *