KPM Laksana Kurikulum Prasekolah Baharu Fokus Enam Bidang Utama

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan kurikulum baharu prasekolah yang bermula pada sesi persekolahan tahun ini dilihat sebagai langkah memperkukuh asas pendidikan awal kanak-kanak dengan penekanan kepada pembangunan menyeluruh dan seimbang.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kurikulum tersebut dirangka bagi melahirkan generasi awal yang holistik, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa depan, selari dengan keperluan pendidikan global.

Menurut beliau, kurikulum baharu itu memberi tumpuan kepada enam bidang pembelajaran utama, iaitu sosioemosi; fizikal dan kesejahteraan diri; bahasa dan literasi; kerohanian, nilai dan kewarganegaraan; kreativiti dan estetika; serta kognitif.

Beliau menjelaskan, bidang sosioemosi menekankan keupayaan kanak-kanak mengenal dan mengurus emosi sendiri, di samping membina hubungan positif dengan individu lain dan persekitaran.

Sementara itu, bidang fizikal dan kesejahteraan diri memberi fokus kepada kesedaran kesihatan termasuk pemakanan seimbang, kebersihan, keselamatan serta pendedahan kepada Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).

Dalam aspek bahasa dan literasi, kanak-kanak akan didedahkan kepada kemahiran komunikasi asas serta dipupuk minat membaca sejak usia awal. Pendekatan ini bertujuan membina keyakinan berbahasa dan asas literasi yang kukuh.

Fadhlina turut memaklumkan, bidang kerohanian, nilai dan kewarganegaraan dibahagikan kepada tiga subbidang, iaitu pendidikan Islam, pendidikan moral dan pendidikan kewarganegaraan.

Pendidikan Islam merangkumi pengenalan kepada asas ajaran, nilai dan amalan Islam dalam kehidupan seharian, termasuk pembelajaran asas tulisan Jawi.

Bagi subbidang pendidikan moral, katanya, penekanan diberikan kepada pembentukan nilai murni seperti kasih sayang, kejujuran, hormat-menghormati dan kerajinan melalui kaedah pembelajaran yang menyeronokkan.

Pendidikan kewarganegaraan pula bertujuan memupuk kesedaran tentang hak dan tanggungjawab sebagai warganegara serta menanam semangat patriotisme sejak awal usia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bidang kreativiti dan estetika memberi ruang kepada kanak-kanak untuk meneroka keindahan persekitaran dan menzahirkan kreativiti melalui seni visual, muzik, pergerakan dan drama, manakala bidang kognitif pula menggalakkan sikap ingin tahu, pemikiran sistematik serta kebolehan berinteraksi dan menyelesaikan masalah.

Fadhlina berharap pendekatan baharu ini mampu memperkukuh asas pembelajaran kanak-kanak prasekolah dan menjadi landasan kukuh kepada pembangunan pendidikan mereka pada peringkat seterusnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *