Oleh: Manzaidi Mohd Amin
HARI kedua Bengkel Penulisan Teater Siri Ketiga di Rumah Pusaka Dinsman, Kampung Raja, Tunjang, Jitra, Kedah pada 21 Disember lalu, mencatatkan perjalanan yang lebih mendalam dan berlapis makna.
Program bukan sahaja menyentuh aspek teknikal penulisan skrip teater, malah mengangkat dimensi kemanusiaan, warisan budaya, emosi dan harapan generasi.
Jika hari pertama bengkel tertumpu kepada pengenalan asas teater, sesi pembedahan skrip dan wacana pemikiran bersama tokoh seni, hari kedua pula berkembang sebagai satu pengalaman hidup, bermula dengan seni di alam terbuka, disusuli detik perpisahan yang menyentuh perasaan, sebelum ditutup dengan perbahasan serius tentang bentuk dan hala tuju pementasan teater.
Hari kedua bengkel dimulakan dengan sesi pagi yang berbeza dari kebiasaan bengkel tertutup. Semua peserta berkumpul di dataran yang dikelilingi hamparan bendang saujana mata memandang kira-kira dua kilometer dari Rumah Pusaka Dinsman, untuk menjalani program membaca puisi dan bercerita.

Seawal jam 7.30 pagi peserta berkumpul, menikmati matahari pagi yang perlahan-lahan muncul, memancarkan cahaya lembut menyinari hamparan bendang menghijau.
Angin pagi sejuk dan nyaman berhembus, seolah menyapa para peserta dan menggamit semangat mereka untuk memulakan hari dengan jiwa yang terbuka. Suasana ini menjadikan sesi seni itu terasa hidup, jujur dan tidak dibuat-buat.
Peserta duduk membentuk separuh bulatan besar. Seorang demi seorang dijemput pengacara majlis, Cikgu Jamly tampil membaca puisi, berkongsi cerita dan melontarkan idea, dengan latar alam sebagai pentas semula jadi.
Sesi ini bukan sekadar acara seni, tetapi satu usaha mengembalikan seni kepada akar asalnya, lahir dari alam, pengalaman dan kejujuran manusia. Bagi Pak Dinsman, pendekatan ini penting untuk mengingatkan pengkarya bahawa seni tidak boleh terpisah daripada kehidupan.

“Seni itu hidup. Ia tidak seharusnya terkurung dalam bilik seminar semata-mata,” katanya dalam perbualan santai bersama peserta.
Namun, di sebalik ketenangan pagi dan keindahan alam, hari kedua bengkel turut diwarnai satu detik yang mengharukan.
Abdul Razak Khaliq, peserta yang juga Ahli Jawatankuasa PAKSI, terpaksa meninggalkan Bengkel Penulisan Teater Siri Ketiga lebih awal kerana perlu bergegas pulang ke Kuala Lumpur atas urusan penting yang tidak dapat dielakkan.
Sebelum berangkat, beliau mengambil kesempatan menyampaikan kata-kata nasihat dan semangat “Pesan Abah” kepada dua peserta termuda bengkel, iaitu Cik Nor Syuhada Namirah Othman dan Cik Qurratul Aini Ahmad Adam, kedua-duanya pelajar Kesusasteraan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Saya ada cucu dan cicit. Kepada andalah saya meletakkan harapan untuk mencorakkan mereka. Mereka tidak lagi boleh bergantung kepada saya, kepada Pak Dinsman, kepada Pak Kassim, kerana kami sudah melepasi tahap itu. Jadi, kepada adik-adiklah kami yang veteran ini letakkan harapan.”
Ucapan itu benar-benar meresap ke dalam jiwa hadirin. Kedua-dua pelajar UPM tersebut tidak mampu menahan sebak dan mengalirkan air mata. Suasana menjadi hening, dan majlis terpaksa dihentikan kira-kira 10 minit bagi memberi ruang kepada mereka menenangkan perasaan.
Para peserta kemudian mengiringi Abdul Razak ke keretanya sebagai tanda hormat dan penghargaan. Detik itu menjadi simbol peralihan tanggungjawab, iaitu daripada generasi lama yang telah lama berbakti, kepada generasi baharu yang bakal memikul amanah mendidik anak bangsa melalui bahasa, sastera dan seni.
Selepas suasana kembali tenang, program diteruskan dengan sesi pembedahan skrip pertama pada hari kedua. Pak Dinsman membedah skrip tulisan Jamly Bahrulddin atau lebih dikenali sebagai Cikgu Jamly, bertajuk Sehari Sebelum Ketibaan Tuan Presiden.

Skrip tersebut berkisarkan perbualan antara seorang Perdana Menteri dengan sahabat lamanya, seorang Tukang Gunting, di sebuah kedai gunting milik lelaki tua itu yang terletak di kawasan KLCC. Latar yang tampak sederhana itu menjadi ruang dialog yang sarat sindiran, falsafah dan makna tersirat tentang kuasa, persahabatan dan kegelisahan seorang pemimpin.
Pak Dinsman memuji kekuatan dialog skrip tersebut yang bersahaja, tetapi berlapis makna. Antara dialog yang menarik perhatian peserta ialah:
Sahabat: “Kenapa pulak PM nak kemahkan (kemaskan) rambutnya, dua minggu lepas, aku baharu saja gunting dan dandan rambutnya. PM, PM, jika tiada apa-apa mesti kau tidak beriya-iya.”
Dialog ringkas itu mencetuskan perbincangan panjang tentang simbolisme iaitu rambut sebagai imej, kegelisahan sebelum ketibaan “Tuan Presiden” serta bagaimana ruang kecil seperti kedai gunting boleh menjadi pentas besar untuk wacana politik dan kemanusiaan.
Pak Dinsman menegaskan, kekuatan skrip itu terletak pada keberanian penulis menggunakan perbualan biasa untuk menyampaikan persoalan besar.
“Ini teater dialog. Ia tidak menjerit, tetapi menggigit,” ujar beliau.
Peserta lain turut memberi pandangan, termasuk cadangan untuk mengukuhkan konflik dalaman watak Perdana Menteri dan memperhalusi peranan Tukang Gunting sebagai suara rakyat atau suara nurani.
Sesi pembedahan skrip diteruskan dengan karya Puteri Saadong tulisan Manzaidi Mohd Amin. Perbincangan kali ini lebih bersifat besar dan konseptual, memandangkan skrip tersebut berakar pada kisah sejarah dan epik.
Pak Dinsman mencadangkan agar Puteri Saadong dipentaskan dalam bentuk lebih megah dan berani, sama ada sebagai makyong, muzikal atau purbawara. Menurut beliau, kisah Puteri Saadong mempunyai potensi visual, emosi dan dramatik yang luas.
“Ini bukan cerita kecil. Ia sejarah, ia epik. Bentuk pementasan mesti mampu menampung kebesaran ceritanya,” katanya.
Dr Fazilah Husin, Ketua Jabatan Bahasa Melayu UPM pula berpandangan skrip tersebut wajar dikekalkan sebagai purbawara bagi mengekalkan kekuatan naratif sejarah dan keasliannya.

Perbezaan pandangan itu mencetuskan wacana sihat. Pak Dinsman secara jujur menyatakan kecenderungannya terhadap pendekatan muzikal, yang menurutnya mampu memberi nafas baharu dan menarik minat khalayak generasi muda.
Perbincangan ini memperlihatkan bagaimana bengkel tersebut bukan medan mencari persetujuan mutlak, tetapi ruang bertukar fikir secara matang dan terbuka.
Menjelang tengah hari, peserta berehat dan menikmati jamuan makan tengah hari yang disediakan oleh tuan rumah. Hidangan disajikan benar-benar mencerminkan suasana kampung, sederhana tetapi penuh rasa.
Antara lauk dihidangkan ialah ikan darat seperti puyu, sepat dan haruan hasil tangkapan segar dari tali air berhampiran kawasan bendang, tempat peserta berpuisi. Ikan-ikan tersebut dijala sendiri oleh tuan rumah pada pagi hari, dan sebahagian peserta sempat menyaksikan aktiviti itu secara langsung.

Makan tengah hari ala kampung ini amat menyelerakan dan menepati cita rasa semua peserta, termasuk mereka yang datang dari Selangor, Kelantan dan Perlis. Ia bukan sekadar mengisi perut, tetapi mengukuhkan lagi hubungan mesra antara peserta, penganjur dan tuan rumah.
Hari kedua Bengkel Penulisan Teater Siri Ketiga berakhir dengan sesi rumusan yang menyeluruh. Daripada puisi di bendang, dialog di kedai gunting, kisah Puteri Saadong, hinggalah air mata perpisahan, semuanya membentuk satu naratif besar tentang seni sebagai amanah dan kesinambungan.
Bengkel ini membuktikan penulisan teater bukan sekadar latihan teknikal, tetapi satu proses membentuk jiwa, pemikiran dan tanggungjawab sosial. Di Rumah Pusaka Dinsman, di tengah kampung dan bendang, seni tidak diajar sebagai teori semata-mata, tetapi dihidupkan sebagai pengalaman.
Seperti pesan Abdul Razak, harapan kini diletakkan pada generasi muda. Dan di bengkel ini, benih harapan itu telah mula tumbuh.
Peserta yang mengikuti bengkel itu ialah Kassim Muhamad (Timbalan Pengerusi PAKSI yang juga penulis skrip Pak Sastro – Menggilap Boss); Abdul Razak Khaliq (AJK PAKSI) Sharifah Naina Mohamad (Urusetia Program), Manzaidi (Penulis skrip), Cikgu Jamly (Penulis skrip), Dr. Fazilah Husin (Ketua Jabatan Bahasa Melayu UPM), Qurratul Aini Ahmad Adam dan Nor Syuhada Namirah Othman (Pelajar Kesusasteraan Melayu UPM), diikuti Muhammad Anas Othman dan Sharifah Munawir Md. Isa (Pegawai J-Kom). – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
Kehidupan desa jarang- jarang- dinikmati Masa kini di banyak tempat.Tapi di desa Kampung Raja tersedia seperti zaman lalu.1980 Dan 1990-an.Dengan retorik yang benar- benar hidup.
Seronok membaca