Pendidikan Menengah Wajib Jamin Masa Hadapan Anak-Anak Malaysia – Fadhlina

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan pengenalan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025, bertujuan mewajibkan pendidikan menengah bagi semua pelajar Malaysia.

Langkah ini katanya, antara pencapaian utama Kerajaan Madani dalam tempoh tiga tahun pelaksanaan Reformasi Pendidikan, dengan fokus memastikan hak pendidikan setara, berkualiti dan menyeluruh untuk setiap anak Malaysia.

Beliau menegaskan, RUU ini menetapkan setiap pelajar dijamin hak mereka untuk mengikuti pendidikan sehingga tamat Tingkatan 5, sekali gus memastikan semua anak Malaysia mempunyai asas pendidikan yang kukuh bagi menghadapi cabaran masa depan.

“Pendidikan menengah wajib bukan sekadar menyediakan peluang akademik. Ia adalah pelaburan dalam masa depan anak kita, memastikan mereka memiliki kemahiran, pengetahuan dan pemikiran kritis yang diperlukan untuk menjadi warga negara produktif dan berdaya saing.

“Pengenalan RUU ini juga bertujuan menangani isu keciciran pendidikan, di mana sesetengah pelajar meninggalkan sekolah lebih awal kerana pelbagai faktor, termasuk kekangan sosioekonomi, kurang sokongan keluarga atau sistem pendidikan yang tidak menepati keperluan mereka,” katanya.

Menurut Fadhlina, RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 adalah pemangkin utama kepada transformasi pendidikan Malaysia, seiring dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi masa depan yang cemerlang dan berdaya saing di peringkat global.

Pindaan ini, ujar beliau, menekankan iltizam Kerajaan Madani untuk memastikan setiap anak Malaysia berpeluang mengembangkan potensi mereka sepenuhnya, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, kaum atau lokasi geografi.

Beberapa fokus utama pindaan ini termasuk memperkukuh asas pendidikan seperti memberi peluang kepada semua pelajar memperoleh pendidikan menengah yang lengkap, termasuk kemahiran abad ke-21.

Selain itu, memperluas akses pendidikan dengan mengurangkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar serta membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

Fokus juga diberikan kepada meningkatkan kualiti PdP seperti menyemak semula sukatan pelajaran dan kaedah pengajaran untuk memastikan relevan dengan kehendak masa depan.

Ini termasuk program sokongan murid seperti memberi perhatian kepada intervensi awal bagi pelajar berisiko keciciran, termasuk kaunseling, bimbingan akademik dan sokongan sosial.

Fadhlina turut menekankan, pendidikan menengah wajib bukan sahaja soal akademik, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membina identiti nasional, memupuk nilai murni, semangat perpaduan dan tanggungjawab sivik dalam kalangan generasi muda.

“Pendidikan adalah platform untuk menyatukan masyarakat. Dengan memastikan setiap pelajar mengikuti pendidikan menengah, kita tidak hanya membina kemahiran, tetapi juga memupuk nilai yang akan memastikan anak kita menjadi warga negara beretika, prihatin dan berdaya saing,” katanya.

Jelas belilau lagi, RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 kini berada dalam proses kelulusan di Parlimen, sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya.

Kerajaan menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, NGO dan masyarakat awam untuk menyokong inisiatif ini demi memastikan semua anak Malaysia mendapat peluang pendidikan yang setara dan masa depan yang lebih cerah.

“Kerajaan Madani komited untuk memastikan tiada seorang pun anak Malaysia tercicir daripada pendidikan. Pendidikan menengah wajib adalah tonggak penting dalam memastikan setiap generasi dapat mencapai potensi mereka sepenuhnya dan menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *