Air India disiasat selepas pesawat diterbangkan tanpa sijil keselamatan

NEW DELHI – Pihak berkuasa penerbangan India sedang menyiasat Air India selepas syarikat penerbangan itu mengendalikan sebuah pesawat sebanyak lapan kali tanpa sijil keselamatan sah.

Dokumen penting itu dikeluarkan setiap tahun untuk memastikan pesawat selamat diterbangkan. Pihak berkuasa tidak mendedahkan jenis pesawat yang terbabit.

Namun, tajuk kenyataan media merujuk kepada kod pendaftaran Airbus A320 dan seorang individu yang arif mengenai perkara itu mengesahkannya.

Airbus tidak segera memberi sebarang komen apabila dihubungi.

Air India juga beberapa kali diberi amaran oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam India (DGCA) berhubung pelanggaran keselamatan tahun ini.

DGCA berkata, pesawat berkenaan kini digantung operasi dan kakitangan yang terbabit dikeluarkan daripada jadual kerja.

Air India mengakui kesalahan itu dan menggantung tugas kakitangan yang bertanggungjawab sehingga siasatan selesai.

“Kes membabitkan salah satu pesawat kami beroperasi tanpa sijil semakan layak terbang adalah sesuatu yang amat dikesali,” kata jurucakap Air India dalam satu kenyataan.

Siasatan terbabit dilakukan ketika Air India masih menghadapi kesan nahas Boeing Dreamliner pada Jun lalu yang meragut 260 nyawa serta kerugian akibat larangan ruang udara yang dikenakan Pakistan terhadap syarikat itu.

DGCA sebelum ini mengeluarkan amaran kepada syarikat penerbangan itu pada Julai berhubung pelbagai perkara termasuk pengurusan keletihan kru dan latihan.

Audit tahunan terhadap Air India turut mendapati 51 pelanggaran keselamatan, termasuk kekurangan latihan mencukupi untuk sesetengah juruterbang, penggunaan simulator yang tidak diluluskan dan sistem jadual yang lemah, menurut laporan kerajaan yang dilihat Reuters.

Sijil keselamatan dikeluarkan selepas meneliti rekod penyelenggaraan, keadaan pesawat dan pematuhan peraturan. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *