ALOR SETAR – Operasi pemindahan 36 pelajar dan empat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand, dijangka dilaksanakan pagi ini.
Dalam satu hantaran di Facebook, UUM memaklumkan bahawa operasi berkenaan akan dilaksanakan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dengan bantuan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
“Marilah sama-sama kita berdoa agar perkara ini dapat dilaksanakan esok (hari ini),” menurut kenyataan ringkas itu.
Menurut UUM, usaha awal telah dilakukan semalam melalui bantuan NGO yang menggerakkan 12 bot bagi menyalurkan bekalan makanan dan keperluan asas kepada rombongan pelajar dan pensyarah berkenaan yang berlindung di Hotel Wangburapa Grand. Namun, arus deras memaksa bot itu berpatah balik.
Keadaan banjir di kawasan hotel berkenaan dilaporkan lebih teruk berbanding lokasi lain, apabila paras air naik melebihi satu tingkat bangunan, sekali gus menjejaskan akses laluan darat. UUM menjelaskan bahawa tiada kenderaan termasuk kereta dan lori mampu sampai ke lokasi tersebut.
Semua pelajar dan pensyarah berkenaan merupakan kumpulan dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) yang terkandas sejak 22 November lalu ketika menyertai Program Pertukaran Budaya Thai-MYS 2025.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001