Tun M Ulangi Dakwaan ART 2025 Berat Sebelah, Kerajaan Tegaskan Perjanjian Lindungi Kepentingan Negara

PUTRAJAYA – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi kritikan keras terhadap Perjanjian Timbas Balas Perdagangan (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS) 2025 dengan mendakwa ia satu bentuk pengkhianatan serta meletakkan Malaysia dalam kedudukan merugikan.

Menurut beliau, perjanjian itu memberikan kelebihan besar kepada AS sehingga Malaysia seolah berada di bawah pengaruh negara berkenaan.

Dr. Mahathir mendakwa, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz turut mengakui beberapa klausa perjanjian itu mengikat kedudukan Malaysia secara tidak wajar.

“Sebab itu menteri sendiri sedar perjanjian ini tidak baik. Walaupun beliau daripada kerajaan, tetapi dia terpaksa menyatakan ini satu perjanjian berat sebelah dan sepatutnya tidak ditandatangani,” katanya pada sidang media khas selepas mempengerusikan Sidang Meja Bulat mengenai ART bersama parti politik dan NGO di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menolak dakwaan Dr. Mahathir dan menyifatkannya sebagai tidak berasas, bermotif politik serta satu pembohongan.

Beliau menegaskan, ART dimeterai demi kepentingan pelaburan serta perdagangan negara dan tidak menggugat kedaulatan Malaysia.

“Kalau betul kita beri monopoli kepada AS, bagaimana kita boleh tandatangani FTA dengan China? Dan bagaimana pula kita masih berbincang isu nadir bumi dengan JS Link, Lynas dan syarikat Korea Selatan?” katanya.

Tengku Zafrul: Beberapa Klausa Perlu Dipinda, Tetapi Kepentingan Negara Dilindungi

Tengku Zafrul dalam kenyataannya mengakui bahawa terdapat klausa dalam ART yang mungkin memerlukan semakan semula, namun menegaskan bahawa Malaysia berjaya mempertahankan kepentingan strategik negara. Antaranya termasuk:

  • Mengelakkan kenaikan tarif sehingga 100 peratus terhadap eksport Malaysia ke AS.
  • Menurunkan tarif daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
  • Menghapuskan 1,711 garis tarif bernilai RM22 bilion.

Kerajaan turut menolak syarat melibatkan sektor strategik seperti tenaga, telekomunikasi dan hak Bumiputera, serta menegaskan bahawa Malaysia kekal bebas menjalinkan perjanjian dengan mana-mana negara selagi tidak menjejaskan keselamatan bersama.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata perjanjian sebesar ART sepatutnya dibincangkan dengan lebih teliti, bukan dirundingkan dalam tempoh singkat.

“Apabila perjanjian begitu serius dikemukakan, perlu ada perbincangan mendalam. Kita perlu tahu apa kesannya kepada negara dan apa tindakan yang boleh diambil. Dalam krisis kewangan Asia 1997, kita ambil setahun untuk bincang sebelum berjaya. Ini, dalam dua hari saja,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *