KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, intimidasi atau ancaman terhadap individu, khususnya wartawan yang memainkan peranan penting dalam ekosistem sukan negara.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan, tindakan agresif atau cubaan menghalang tugas profesional wartawan adalah perbuatan tidak boleh diterima dan sama sekali tidak mencerminkan semangat kesukanan serta nilai integriti yang diperjuangkan badan induk itu.
“FAM berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan memastikan keadilan ditegakkan.
“Pada masa sama, FAM akan terus bekerjasama rapat dengan pengamal media bagi memastikan ruang yang selamat, profesional dan saling menghormati diwujudkan dalam industri sukan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan kes serangan terhadap wartawan sukan dan Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Haresh Deol di Bangsar semalam.
Mohd Yusoff turut menyatakan, FAM mendoakan agar Haresh berada dalam keadaan baik dan diberikan kekuatan selepas melalui pengalaman yang tidak diingini itu.
Terdahulu, Haresh iaitu pengasas bersama portal berita TwentyTwo13, memaklumkan melalui hantaran di laman X bahawa beliau diserang dua lelaki ketika berjalan ke keretanya, manakala seorang lagi individu merakam insiden berkenaan menggunakan telefon bimbit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Hoo Chang Hook memaklumkan, pihaknya sedang mengesan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut yang berlaku di Jalan Maarof berhampiran kawasan parkir sebuah pusat beli-belah ketika Haresh sedang berjalan menuju ke Jalan Telawi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001