PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan pemberian rasuah oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki dalam satu kenyataan hari ini, berkata, pihaknya akan memanggil individu berkaitan bagi mengumpul keterangan serta bukti.
“Orang ramai diharap tidak membuat spekulasi mengenai isu ini dan memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan untuk mengumpul keterangan dan bukti berkaitan tohmahan ini,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Shamsul Iskandar dan menegaskan, SPRM bebas menjalankan siasatan terhadap segala dakwaan yang timbul.
Peletakan jawatan Shamsul Iskandar dikaitkan dengan beberapa pendedahan, termasuk dakwaan oleh seorang ahli perniagaan, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, yang dalam satu laporan portal berita mendakwa telah menyerahkan sebanyak RM629,000 kepada Shamsul selepas diyakinkan wang itu boleh diperoleh semula daripada dana disalurkan kepada ahli politik di Sabah.
Pada masa sama, tular di media sosial sepucuk surat bertarikh 6 Mei 2024 yang didakwa ditandatangani seorang setiausaha politik Perdana Menteri.
Surat itu ditujukan kepada pembantu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan meminta agar enam kontraktor dipertimbangkan untuk sebuah projek hospital di Muar.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, Khamis lalu menamakan Shamsul Iskandar sebagai individu yang menulis surat sokongan berkenaan.
Sebelum ini, pada 18 November lalu, Anwar memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa beliau telah menegur setiausaha politiknya berhubung perkara tersebut, sambil menegaskan peraturan kerajaan tidak membenarkan tindakan sedemikian.
Berikutan perkembangan itu, beberapa pihak termasuk pembangkang menggesa SPRM menjalankan siasatan menyeluruh dan telus bagi memastikan semua dakwaan dapat dijelaskan secara sahih.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001