ARAU – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli sedia beri kerjasama untuk membantu siasatan isu audio suara mirip beliau yang tular di media sosial, dipercayai memperkatakan campur tangan Istana Arau dalam urusan negeri.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai penularan video yang mengandungi audio berkenaan.
“Saya sedia beri kerjasama untuk membantu siasatan sekiranya diperlukan dan dipanggil oleh pihak polis, cuma setakat ini polis masih belum panggil lagi.
“Berhubung penularan audio itu, saya tidak boleh komen kerana saya tidak dengar habis lagi rakaman audio itu, jadi beri masa untuk dengar audio baharulah saya boleh komen,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas Program ‘Mai Kita Sembang Masa Depan Perlis’ dan Penyampaian Elaun Bulanan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perlis, di Dewan Warisan, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim mengesahkan kes terbabit diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut.
“Kes sudah pun diambil alih Bukit Aman dan kita di Perlis akan membantu sekiranya diperlukan untuk melengkapkan siasatan,” katanya.
Selain itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi mengesahkan pihaknya menerima satu laporan berkaitan rakaman suara didakwa mirip pemimpin politik negeri ini.
Katanya, laporan dibuat Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Arau, Hazalan Haron petang semalam selepas beliau menonton video yang memaparkan rakaman suara berkenaan menerusi akaun TikTok.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001