Ketua Pengarah AKPS jelaskan video tular ‘amukan’ terhadap pegawai Imigresen

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menjelaskan insiden ‘amukan’ beliau terhadap sekumpulan pegawai agensi itu yang tular baru-baru ini berlaku selepas beliau menyedari wujud salah laku dalam kalangan anggota yang terlibat dalam operasi berkenaan.

Menurut beliau, teguran keras itu dibuat terhadap satu kumpulan syif yang kemudiannya didapati separuh daripada mereka ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Ops Rentas.

“Untuk pengetahuan semua, amukan saya pada malam itu kepada satu kumpulan (syif), yang mana akhirnya terzahir bahawa dalam Ops Rentas, separuh daripada yang ditahan SPRM adalah dalam kumpulan yang saya amuk pada malam itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Townhall Bersama Ketua Pengarah AKPS di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya semalam yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, lapor Buletin Utama.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily menjelaskan, video berkenaan dirakam secara senyap-senyap oleh individu tidak dikenali tanpa pengetahuannya, sebelum tersebar luas di media sosial.

“Dua minggu selepas kejadian itu, seorang ditangkap disusuli dengan Ops Rentas daripada SPRM yang masih diteruskan sehingga hari ini. Itu satu benda yang perlu kita perbaiki,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan menegur keras anggota bawahan bukan sesuatu yang membanggakan, sebaliknya mencerminkan kelemahan diri sebagai pemimpin.

“Saya tak berbangga, mungkin orang ingat saya suka, tetapi setiap kali anggota saya jatuh, saya ‘sakit’, saya kecewa kerana ia menyulitkan AKPS dalam konteks operasi,” katanya.

Mohd Shuhaily turut menegaskan bahawa semua pegawai dan anggota AKPS perlu meninggalkan tabiat atau amalan tidak sihat yang bercanggah dengan integriti penjawat awam.

“Jika ada yang terjebak dengan benda tidak sihat, bila kamu masuk AKPS semua tabiat buruk itu mesti kena berhenti,” katanya.

Beliau menambah, setiap pegawai yang ditahan atau disiasat akan dialihkan daripada tugasan, manakala gaji mereka akan disekat sehingga siasatan selesai.

“Sudah sampai masanya mereka yang terbabit dengan kegiatan jenayah supaya berubah segera kerana tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak,” tegasnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *