BANGKOK – Ketegangan diplomatik antara Thailand dan Kemboja meningkat selepas seorang pegawai tentera Thailand cedera parah akibat letupan periuk api jenis PMN-2 buatan Soviet di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian.
Isu menjadi serius selepas tragedi pada 16 Julai lalu yang menimpa Leftenan Kedua Baramee Sricha, dikenal pasti baru ditanam dan bukannya tinggalan perang terdahulu.
Mangsa sedang meronda bersama pasukannya apabila seorang anggota terpijak periuk api menyebabkan kecederaan teruk pada kakinya.
Tragedi itu mencetuskan pertempuran selama lima hari antara kedua-dua negara sebelum satu gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) dicapai.
“Letupan itu bukan sekadar kes terpencil. Ia menunjukkan bahaya yang masih wujud di sempadan,” kata seorang pegawai keselamatan Thailand kepada Reuters.
Bangkok menuduh Phnom Penh menanam periuk api jenis PMN-2, iaitu periuk api pemusnah individu buatan Soviet yang telah lama dilarang di bawah Konvensyen Ottawa 1997, yang ditandatangani oleh kedua-dua negara.
Menurut pihak tentera Thai, sejak Julai lalu, enam askar Thailand telah menjadi mangsa PMN-2 di sepanjang sempadan, termasuk anggota rondaan Leftenan Baramee, namun Kemboja menafikan tuduhan itu.
Ia menegaskan bahawa letupan berpunca daripada periuk api lama sisa perang saudara yang berlarutan selama dua dekad di negaranya.
Naib Presiden Pihak Berkuasa Tindakan Periuk Api dan Bantuan Mangsa Kemboja (CMAA), Dr Ly Thuch, berkata tiada bukti bahawa pihaknya menanam periuk api baru.
“Kesan alam sekitar dan hakisan tanah boleh menyebabkan periuk api kelihatan baru,” katanya.
Namun, pakar tidak dapat mengesahkan siapa yang menanamnya. CMAA menegaskan hanya siasatan bebas antarabangsa dapat menentukan punca sebenar, sambil menolak dakwaan tentera Kemboja masih memiliki stok aktif PMN-2.
“Kami tidak mempunyai stok periuk api antipersonel hidup. Periuk api yang meletup itu mungkin berasal dari sisa perang lalu,” kata Dr. Thuch.
Kemboja, yang pernah menjadi salah satu negara paling tercemar dengan bahan letupan di dunia, kini dikenali sebagai pendukung global anti-periuk api.
Negara itu melabur lebih daripada AS$1 bilion (RM4.2 bilion) sejak 30 tahun lalu bersama penderma antarabangsa bagi membersihkan sisa letupan perang.
Thailand mengemukakan kepada Reuters gambar dan video operasi pembersihan periuk api PMN-2 di kawasan sempadan antara 18 hingga 23 Julai.
Wartawan antarabangsa yang melawat lokasi itu turut melihat serpihan logam dan periuk api utuh yang dikatakan ditemui tentera Thailand.
Empat pakar bebas dalam bidang pelupusan bahan letupan yang meneliti imej itu bersetuju bahawa periuk api itu kelihatan baru ditanam.
Pakar bebas berpangkalan di United Kingdom (UK), Andrew Vian, berkata plastik pelindung masih lembut dan bersih, tanpa kesan tanah atau akar tumbuhan.
“Periuk api lama biasanya rapuh dan diselaputi lumpur atau karat, tetapi ini masih seperti baru keluar dari kilang,” katanya.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand berkata siasatan mereka menunjukkan periuk api yang mencederakan askar-askar itu berada dalam keadaan baru, dengan tanda pengenalan PMN-2 masih jelas kelihatan.
“Periuk api ini baru ditanam, bukan tinggalan lama. Thailand tidak pernah memiliki atau menggunakan PMN-2 kerana peluru jenis Soviet ini tidak terdapat dalam simpanan kami,” tegas jurucakap itu.
Susulan itu, Bangkok mengemukakan aduan rasmi kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, melalui mekanisme pematuhan di bawah Konvensyen Ottawa.
Jurucakap Timbalan PBB, Farhan Haq, berkata sekretariat PBB akan terus memantau perkara itu.
“Konvensyen ini menyediakan mekanisme yang jelas untuk menangani isu pematuhan.
“Setiausaha Agung PBB berharap Thailand dan Kemboja dapat menyelesaikan isu ini secara diplomatik dan bekerjasama,” katanya.
Periuk api PMN-2 terkenal kerana kesannya yang melumpuhkan, direka untuk mencederakan mangsa bagi melambatkan pergerakan tentera musuh. Ia digunakan secara meluas dalam konflik era Perang Dingin di Indochina.
Walaupun usaha perlupusan bahan letupan bermula selepas Perjanjian Damai Paris 1991, lebih 1,000 kilometer (km) sempadan Thailand-Kemboja masih dianggap kawasan paling tercemar dengan periuk api darat di dunia.
Menurut CMAA, sejak September 2023, 1,800 periuk api PMN-2 telah dikesan dan dimusnahkan, namun banyak lagi dipercayai tertanam di kawasan luar bandar.
“Kami telah membersihkan lebih 3,200km persegi tanah, tetapi ancaman masih wujud,” kata Dr. Thuch.
Tragedi Julai itu menimbulkan persoalan besar mengenai komitmen sebenar kedua-dua negara terhadap Konvensyen Ottawa, yang menuntut pemusnahan semua stok periuk api dalam tempoh empat tahun selepas menandatanganinya.
“Jika benar Kemboja masih menggunakan periuk api antipersonel, ini akan mencalar reputasi sebagai negara yang selama ini menentang penggunaannya.
“Ia juga mencetuskan kebimbangan antarabangsa, terutama ketika beberapa negara Eropah sedang menilai semula komitmen mereka terhadap perjanjian itu,” kata Yeshua Moser-Puangsuwan daripada Landmine Monitor, sebuah pertubuhan pemantau global.
Bagi Thailand, kes itu menjadi ujian kepada hubungan diplomatik dengan jirannya, dan pada masa sama, persepsi antarabangsa terhadap usaha keamanan Asia Tenggara.
“Kami menghormati Kemboja sebagai rakan serantau, tetapi keselamatan sempadan dan nyawa anggota kami tidak boleh ditolak ansur,” kata jurucakap Kementerian Luar Thai.
Di tengah ketegangan yang memuncak, kedua-dua negara kini menghadapi tekanan daripada masyarakat antarabangsa untuk mencari penyelesaian bersama.
Seorang pegawai kanan Asean di Bangkok berkata, rundingan damai yang dibantu oleh AS telah mengelakkan konflik kecil daripada menjadi perang sempadan terbuka.
“Kes ini mengingatkan kita bahawa luka sejarah masih berdarah di sempadan Indochina, diplomasi harus berjalan lebih cepat, mendahului letupan seterusnya,” katanya. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001