Ketua Turus Tentera Houthi, anak lelaki 13 tahun terbunuh di Yaman

DUBAI – Kumpulan Houthi di Yaman mengesahkan Ketua Turus Tentera mereka, Muhammad Abd Al-Karim al-Ghamari, salah seorang pegawai tertinggi kumpulan yang disokong Iran itu, telah terbunuh ketika menjalankan tugas.

Tanpa menuding jari secara langsung kepada Israel, kumpulan Houthi menegaskan, konflik dengan Israel belum berakhir dan memberi amaran rejim zionis akan “menerima hukuman sebagai pembalasan atas jenayah yang telah dilakukan”.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Angkatan Tentera Houthi, kematian beberapa individu lain turut dilaporkan, termasuk anak lelaki Al-Ghamari yang berusia 13 tahun, Hussein.

Pada Ogos lalu, Israel melancarkan serangan udara ke atas Sanaa, Yaman, menyasarkan Ketua Turus Tentera, Menteri Pertahanan dan beberapa tokoh kanan kumpulan Houthi.

Serangan itu turut mengorbankan Perdana Menteri kerajaan yang ditadbir Houthi serta beberapa menteri lain.

Ketika itu, Israel menyatakan serangan berkenaan memang menyasarkan Al-Ghamari, Menteri Pertahanan, dan pegawai kanan lain dan pihaknya sedang mengemas kini hasil operasi.

Al-Ghamari merupakan anggota “Pejabat Jihad” Houthi yang diketuai oleh Abdul Malik al-Houthi, bertanggungjawab menyelia operasi ketenteraan kumpulan berkenaan.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengesahkan Al-Ghamari telah diserang dalam serangan udara Israel, sambil menegaskan: “Kami akan melakukan perkara yang sama terhadap mana-mana ancaman pada masa akan datang”.

Sebelum ini, kumpulan Houthi telah melepaskan peluru berpandu ke arah Israel sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza, namun kebanyakan serangan itu berjaya dipintas oleh sistem pertahanan Israel.

Israel kemudian membalas dengan serangan udara ke kawasan yang dikuasai Houthi di Yaman.

Pemimpin Houthi, Abdul Malik al-Houthi, minggu lalu berkata, kumpulannya akan memantau pematuhan Israel terhadap perjanjian gencatan senjata Gaza dan akan menyambung sokongan ketenteraan terhadap Gaza jika Israel gagal mematuhi perjanjian itu. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *