UPSI–HONOR Bakal Bangunkan Makmal Pendidikan AI Pertama di Asia Tenggara

Oleh: Bazli Abdul Razak

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal membina Makmal Pendidikan Kecerdasan Buatan (AI) pertama di Asia Tenggara hasil jalinan kerjasama strategik dengan syarikat teknologi global, HONOR melalui termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU), hari ini.

Perjanjian yang diadakan di Ibu Pejabat HONOR, Shenzhen, China itu ditandatangani Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, manakala HONOR diwakili Presiden HONOR South Pacific, Li Jing,.

Turut hadir menyaksikan pementeraian MoU tersebut, Pengurusi Education Malaysia Global Services (EMGS) merangkap Penasihat Khas Menteri Kementeri Pendidikan Tinggi, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.

Menurut Prof. Dr. Md. Amin, UPSI dan HONOR akan meneroka pelbagai bidang kerjasama termasuk pengajaran dan pembelajaran digital, penyelidikan serta penerbitan bersama, pendedahan industri dan mobiliti akademik, khidmat perundingan serta penglibatan komuniti dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

“Kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan tinggi negara dengan memperkenalkan pendekatan pembelajaran berasaskan AI yang pertama seumpamanya di rantau ini.

“UPSI berbangga menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang menjalin kerjasama dengan syarikat teknologi antarabangsa seperti HONOR untuk membangunkan Makmal Pendidikan AI di Perpustakaan Tuanku Bainun.

“Makmal ini bukan sahaja menjadi pusat latihan dan penyelidikan bagi warga UPSI, malah akan dibuka kepada komuniti luar untuk merasai pengalaman pembelajaran berasaskan teknologi masa depan,” katanya.

Pada majlis sama, turut menyaksikan sesi menandatangani MoU antara UPSI Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) dengan HONOR yang diwakili Pengerusi Lembaga Pengarah UHSB, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Menurut beliau, MoU antara UHSB dan HONOR pula merangkumi usaha mempromosi, memasar dan menjual produk terpilih keluaran HONOR kepada UPSI, universiti awam lain serta agensi kerajaan di Malaysia.

Kerjasama itu turut memberi fokus kepada pertukaran kepakaran teknikal, pembangunan strategi perkhidmatan dan penubuhan pusat drop-off atau pusat servis di kawasan universiti bagi meningkatkan nilai perkhidmatan kepada pelanggan.

“Kita percaya inisiatif ini akan menjadikan UPSI bukan sahaja sebagai peneraju pendidikan guru, tetapi juga hab inovasi teknologi pendidikan di Asia Tenggara.

Makmal Pendidikan AI tersebut dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat dan bakal menjadi simbol kebitaraan UPSI dalam mendepani era digitalisasi pendidikan global.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *