Gol saat akhir Neves selamatkan maruah Portugal

LISBON – Ruben Neves muncul wira Portugal apabila menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Ireland, sekali gus mengekalkan rekod sempurna dalam Kumpulan F kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.

Portugal kini mengumpul sembilan mata selepas tiga perlawanan, lima mata di depan Hungary di tempat kedua.

Mereka akan mengesahkan tiket ke Piala Dunia sekiranya menang ke atas Hungary di laman sendiri, Selasa ini.

Neves melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran silang Francisco Trincao pada minit pertama masa kecederaan di Estadio Jose Alvalade, jaringan antarabangsa pertamanya dalam 60 penampilan.

Gol itu cukup bermakna buat Neves yang menujukan detik bersejarah itu kepada sahabat karibnya, mendiang Diogo Jota, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada Julai lalu.

Neves menyarung jersi nombor 21 milik pemain Liverpool itu dalam aksi pertama Portugal di laman sendiri selepas tragedi berkenaan.

Cristiano Ronaldo pula gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-75 apabila percubaannya diselamatkan penjaga gol Ireland, Caoimhin Kelleher ketika pelawat hampir mencuri satu mata.

Portugal nyata lega selepas berhempas pulas menembusi benteng kukuh Ireland yang bertahan dengan disiplin tinggi sepanjang perlawanan.

Ronaldo yang membuat penampilan ke-50 pada kelayakan Piala Dunia, berpeluang membuka tirai jaringan seawal minit ke-17 tetapi rembatan kaki kirinya hanya terkena tiang. Bola lantunannya pula gagal disudahkan Bernardo Silva dari jarak dekat.

Kapten berusia 40 tahun itu sekali lagi terlepas peluang keemasan pada minit ke-70 selepas menerima hantaran silang Nuno Mendes, namun rembatannya tersasar.

Lima minit kemudian, Portugal diberikan sepakan penalti selepas bola terkena pertahanan Dara O’Shea yang cuba menghalang percubaan Trincao.

Namun selepas semakan VAR, keputusan kekal dan Ronaldo mengambil sepakan itu tetapi Kelleher cemerlang menafikan sepakannya dengan kaki kiri.

Kegagalan itu sekali gus menafikan Ronaldo peluang mencipta rekod 40 gol pada aksi kelayakan Piala Dunia, selain menamatkan rentetan lima perlawanan antarabangsa berturut-turut dengan jaringan.

“Ia keputusan yang menyakitkan dan menghampakan,” kata jurulatih Ireland, Heimir Hallgrimsson.

“Rancangan kami menjadi dengan kerjasama sepasukan yang baik. Kami memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini.” – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *