WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) akan mengerahkan 200 anggota tenteranya bagi menyertai pasukan petugas bersama untuk kestabilan Gaza.
Namun, tiada tentera negara itu akan berada di lapangan dalam wilayah Palestin berkenaan, kata dua pegawai kanan AS semalam.
Kedua-dua pegawai itu, yang enggan dikenali, berkata 200 anggota berkenaan akan menjadi teras kepada pasukan petugas yang turut disertai wakil ketenteraan Mesir, Qatar, Turkiye dan kemungkinan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menurut mereka, lokasi penempatan pasukan AS itu masih belum diputuskan.
Bagaimanapun, mereka akan menubuhkan pusat kawalan bersama dan menyelaras pasukan keselamatan lain yang akan beroperasi di Gaza bagi memastikan koordinasi dengan tentera Israel serta mengelakkan sebarang pertembungan.
“Tiada tentera AS akan dihantar memasuki Gaza,” tegas salah seorang pegawai berkenaan.
Pegawai itu menjelaskan, usaha terbabit diharap dapat menstabilkan keadaan selepas pelaksanaan perjanjian Gaza, sekali gus meredakan ketegangan di rantau itu serta membuka ruang kepada rundingan baharu ke arah menjalin hubungan antara Israel dan negara-negara Arab.
Dalam penggal pertamanya, Presiden AS, Donald Trump, pernah menjadi pengantara kepada Perjanjian Abraham yang menyaksikan jalinan hubungan antara Israel dengan Bahrain, UAE, Maghribi dan Sudan.
Menurut pegawai itu lagi, Arab Saudi antara negara yang berpotensi menyertai perjanjian serupa dengan Israel, selain Indonesia, Mauritania, Algeria, Syria dan Lubnan. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001