PM bentang Belanjawan 2026 petang ini, belanjawan pertama bawah RMK13

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini.

Ia merupakan belanjawan keempat yang dibentangkan Kerajaan MADANI pimpinan beliau, dan yang pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pembentangan Belanjawan 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan dan platform media sosial, termasuk saluran BERNAMA TV yang turut menayangkan Program Khas Analisis Prapembentangan Belanjawan 2026 pada jam 3 petang.

Menurut kenyataan Prabelanjawan 2026 yang disiarkan melalui laman sesawang khas Kementerian Kewangan, Belanjawan 2026 akan meneruskan momentum berpandukan asas kukuh yang telah dibina menerusi Belanjawan MADANI sebelum ini.

Belanjawan 2026 juga akan terus memaknai tiga tonggak utama Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai taraf hidup rakyat, serta tatakelola baik dan reformasi sektor awam.

Dalam mendepani ketidaktentuan global serta persaingan semakin sengit, tumpuan Belanjawan 2026 akan terarah kepada penyampaian agenda ekonomi Malaysia jangka panjang.

Di samping, fokus juga akan ditekankan kepada usaha menangani cabaran jangka pendek bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan melindungi daya tahan ekonomi negara.

Pada masa sama, kenyataan Prabelanjawan 2026 turut memaklumkan bahawa usaha akan diambil bagi mempertingkatkan kesejahteraan rakyat melalui bantuan lebih bersasar yang berteraskan keberhasilan ke arah menambah baik kualiti hidup.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, ketika memberi taklimat berkaitan Belanjawan 2026 kepada editor media di Putrajaya pada Rabu lalu berkata, belanjawan keempat Kerajaan MADANI itu akan memberi tumpuan kepada usaha untuk membela rakyat, memperkukuhkan ekonomi serta memperteguhkan asas negara yang mampan dan inklusif.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat dalam laman sesawang Parlimen, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 akan dibahaskan pada Peringkat Dasar selama lapan hari oleh Ahli-ahli Parlimen selepas dibentangkan hari ini.

Seterusnya, sesi penggulungan oleh kementerian akan berlangsung dari 29 Oktober hingga 4 November depan, diikuti perbahasan pada Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 November untuk kelulusan Dewan Rakyat. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *