LONDON – Ousmane Dembele akhirnya mencapai kemuncak karier bola sepak dunia apabila dinobatkan sebagai pemenang Ballon d
Or, sekali gus menutup kisah silam penuh kontroversi, kecederaan serta isu disiplin yang pernah menghantui dirinya.
Namun, di sebalik kegemilangan itu, ada sentuhan istimewa daripada isteri yang jarang muncul di khalayak, Rima Edbouche, yang menjadi tunjang perubahan besar bintang kelahiran Vernon, Perancis itu.
Dembele sebelum ini dianggap antara bakat generasi baharu yang bakal menggegarkan dunia tetapi kecederaan berulang, sikap tidak profesional, tabiat bermain permainan video sehingga lewat malam serta masalah tidak menepati masa hampir memusnahkan kariernya di Barcelona.
Malah, skandal perkauman bersama rakan sepasukan Antoine Griezmann pada 2019 pernah menjatuhkan reputasinya ke tahap terendah.
Namun, segalanya berubah selepas perkahwinannya dengan Rima pada 2021.
Wanita kelahiran Maghribi itu, yang pernah terkenal di dunia Islam sebagai bintang media sosial dengan lebih 300,000 pengikut di TikTok, membawa disiplin, nilai agama dan keteguhan tradisi dalam kehidupan Dembele.
Rima terkenal dengan nasihat gaya hidup serta fesyen sederhana sesuai dengan pegangan Islamnya, malah sehingga kini memilih untuk tidak mendedahkan wajahnya kepada umum.
Pasangan itu juga merahsiakan nama anak perempuan mereka, sebaliknya Dembele hanya memanggilnya ‘The Catalan’ kerana lahir di Barcelona ketika dia masih beraksi bersama gergasi Sepanyol itu.
Sejak bergelar suami, Dembele mula menunjukkan perubahan drastik.
Dia mengupah pakar nutrisi peribadi, lebih serius dalam menjaga pemakanan serta menjalani rawatan kecederaan khusus di Perancis.
Perubahan sikap itu turut dizahirkan di atas padang apabila corak permainannya yang sebelum ini sering longlai bertukar menjadi penuh intensiti.
Aksi tanpa mengenal penat mengejar pemain lawan musim lalu tular, memukau penyokong PSG dan Perancis.
Menariknya, walaupun menjadi ‘bayangan’ di sebalik kejayaan suaminya, kehidupan Rima sendiri penuh misteri.
Selepas PSG tewas kepada Chelsea dalam Piala Dunia Kelab, dia bertindak menutup akaun TikTok sebelum memadamnya sepenuhnya tanpa penjelasan.
Malah, Instagram yang dahulu dipenuhi lebih 300,000 pengikut kini dilancarkan semula dengan 187,000 pengikut, memaparkan gaya hidup mewah di destinasi seperti Courchevel dan Dubai tetapi tanpa sebarang perkongsian tentang keluarga.
Keengganannya berkongsi hal peribadi menambahkan lagi aura misteri, namun jelas bahawa dedikasi dan keteguhannya menjadi asas yang mengubah Dembele daripada ‘budak nakal Barcelona’ kepada wira PSG serta menjadi pemenang Ballon d’Or.
Pasangan itu berkahwin dalam majlis tradisional Maghribi di Perancis yang sederhana tetapi penuh makna, dengan hanya segelintir keluarga dan kenalan rapat hadir.
Setahun kemudian, kelahiran anak perempuan mereka melengkapkan kehidupan Dembele sebagai seorang suami dan bapa, sekali gus menjadikan dirinya lebih matang.
Pada malam penuh bersejarah di Paris, air mata Dembele tumpah di pentas ketika ibunya, Fatimata, duduk di sisi.
Tetapi jauh dalam hati, dia pasti sedar tanpa sokongan Rima, transformasi luar biasa daripada pemain yang pernah dianggap gagal di Barcelona kepada pemain terbaik dunia mungkin tidak akan pernah berlaku. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001