Mayat reput dipercayai mangsa bunuh ditemukan dekat KLIA

PUTRAJAYA – Mayat seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an dan berpakaian lengkap ditemukan dalam keadaan reput berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 September lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 7.50 malam mengenai penemuan mayat berkenaan, yang dipercayai mangsa bunuh.

“Keadaan mayat telah reput dengan bahagian kepala tidak sempurna dan hanya tinggal tengkorak. Berdasarkan keadaan fizikal, mangsa dipercayai meninggal dunia lebih kurang seminggu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa berpakaian baju T-shirt putih jenama Drum bersaiz XS bertulis ‘Fear Less’ serta seluar kargo pendek berwarna krim bersaiz L.

Menurutnya, setakat ini identiti mangsa belum dapat dipastikan kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mayat.

Azman berkata, hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Serdang mendapati empat kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.

Katanya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

Susulan itu, beliau meminta kerjasama orang awam atau waris agar segera menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, DSP Tee Ah Chew di talian 018-2183555. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *