Faiz Fadzil

URA untuk tingkatkan kekuatan Melayu di bandar, pindaan pengukuhan URA satu tindakan wajar

SHAH ALAM – Parti Amanah Nasional (Amanah) menyokong keputusan kerajaan semalam untuk menangguhkan perbahasan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) sebagai satu tindakan yang wajar dengan tekad penambahan beberapa input penting yang telah dibangkitkan pelbagai pihak sebelum ini.

Ini menunjukkan Kerajaan Madani sebuah “kerajaan yang mendengar”.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, URA wajar diteruskan untuk dilaksanakan kerana kebaikan melebihi kelemahan.

Katanya, URA ini tidak sama sekali menjejaskan status Tanah Rizab Melayu, malah tanah yang telah diwartakan sebagai rizab Melayu akan terus kekal rizab Melayu.

“Bukan Melayu juga tidak perlu bimbang kerana status pemilikan tanah masih kekal seperti sebelum ini. Tanah hak milik tetap akan kekal sebegitu.

“Inilah sikap kebertanggungjawaban kerajaan yang melihat kepada kepentingan semua lapisan rakyat. URA ini sebenarnya digubal bagi meningkatkan kekuatan orang Melayu untuk menguasai kawasan bandar.

“Orang Melayu semakin ramai berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi di mana populasi yang tinggal di bandar semakin meningkat. Dasar Melayu dipisahkan dari bandar sebelum ini adalah dasar penjajah yang perlu dihentikan,” katanya.

Beliau berkata, apabila tinggal di bandar, mereka yang bukan pemilik asal mampu untuk membeli rumah baharu yang dibina kelak.

⁠Maka, katanya, penguasaan orang Melayu di bandar akan meningkat dan ini seterusnya memberikan peluang kepada lebih ramai orang Melayu memiliki aset yang selesa dan bernilai di bandar.

“Janganlah memperlekehkan orang Melayu yang semakin berduit konon tidak mampu membeli rumah di bandar.

“URA digubal bagi meningkatkan kekuatan orang Melayu di bandar terutama perumahan flat. URA tidak akan menghalau penduduk dari kawasan mereka. URA ini, selepas dilaksanakan, memberikan pampasan “satu untuk satu”.

“Ini bermaksud penduduk asal terlibat akan diberikan rumah baharu secara percuma di tapak yang sama, cuma pembinaan baharu yang pasti lebih selesa dan bernilai,” katanya.

Beliau memberi contoh, rumah lama bernilai RM70,000 akan digantikan dengan rumah baharu bernilai RM400,000 tanpa sebarang bayaran daripada pemilik termasuk orang Melayu.

Justeru, Muhammad Faiz mencadangkan kerajaan dan pemaju perlu menyediakan satu langkah konkrit memastikan orang Melayu (bukan pemilik asal) terutama golongan muda diberikan keutamaan (priority) untuk membeli unit rumah baharu pada harga yang kompetitif.

“Orang Melayu tidak perlu bimbang dan jangan termakan dakyah tipu pembangkang kononnya membela Melayu, tetapi sanggup melihat orang Melayu hidup di dalam kesusahan dan kesengseraan. Orang Melayu berhak untuk hidup setaraf dengan kaum lain.

“URA diigubal untuk memastikan pemilik majoriti tidak kalah dengan pemilik minoriti. Sekarang ini, 100% pemilik harus bersetuju untuk sesebuah bangunan usang dibangunkan semula, dan selalunya ini dihalang oleh pemilik minoriti walaupun majoriti penduduk bersetuju.

“URA akan menyelesaikan masalah ini dengan menurunkan kadar ambang persetujuan kepada jumlah tertentu,” katanya.

Kata beliau lagi, sudah pasti pemilik yang tinggal di flat yang usang dan kotor bersetuju dengan URA, cuma pembangkang yang tidak tinggal di situ membantah dengan menunggang api sentimen perkauman kerana terdesak untuk menjatuhkan kerajaan.

Ujarnya, jika mereka tidak berniat menjatuhkan kerajaan, tidaklah cadangan URA ini disokong oleh pemimpin PAS ketika menjadi kerajaan dahulu. Inilah sikap munafik pembangkang atau Perikatan Nasional (PN).

“PN takut kepada pembangunan kerana pemikiran mereka yang tidak ada idea progresif dan suka kepada kemunduran. Kemunduran sama sekali tidak diizinkan dalam Islam,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *