Amanahreit catat pertumbuhan 24.6 peratus dalam pendapatan separuh pertama

KUALA LUMPUR – AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) mengekalkan prestasi kukuh pada separuh pertama tahun kewangan 2025 dengan mencatatkan pertumbuhan 24.6 peratus dalam pendapatan realisasi sebelum cukai, dipacu oleh pendapatan sewa lebih tinggi, strategi modal berhemat serta pengurusan kos berdisiplin.

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025, AmanahRaya REIT merekodkan pendapatan sewa RM19.1 juta, meningkat 13.8 peratus berbanding RM16.8 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Peningkatan itu disumbangkan oleh penyewaan baharu, kadar penghunian lebih kukuh di Menara Vista serta pemerolehan Sekolah Tinta. Seiring dengan itu, pendapatan harta bersih (NPI) meningkat kepada RM11.0 juta berbanding RM10.5 juta sebelumnya.

Secara keseluruhan bagi enam bulan pertama, pendapatan sewa terkumpul meningkat 14.7 peratus tahun ke tahun kepada RM39 juta, manakala NPI bertambah kepada RM23.7 juta berbanding RM21.9 juta.

Pendapatan realisasi sebelum cukai melonjak kepada RM4.3 juta daripada RM3.5 juta, dipacu hasil sewaan lebih tinggi dan penurunan kadar faedah sebanyak 7.4 peratus kepada RM13.2 juta.

Sehingga 30 Jun 2025, AmanahRaya REIT merekodkan nilai aset bersih sebanyak RM721.5 juta atau RM1.2586 seunit dengan nisbah penggearan kekal stabil pada 44.5 peratus.

Pengarah Urusan AmanahRaya-Kenedix REIT Manager (AKRM), Datuk Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli, berkata prestasi itu mencerminkan daya tahan portfolio serta keberkesanan strategi pemajakan dan pengurusan modal proaktif syarikat.

Katanya, pemerolehan baharu ke dalam segmen perindustrian akan mengukuhkan lagi pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

Beliau menambah, pengambilalihan hartanah di Teluk Panglima Garang yang dijangka dimuktamadkan pada suku keempat tahun ini akan meningkatkan pendedahan AmanahRaya REIT dalam sektor perindustrian sekali gus menyumbang kepada kestabilan pendapatan.

AmanahRaya REIT kekal fokus kepada agenda transformasi lima teras meliputi pengukuhan tadbir urus, pemerkasaan tenaga kerja, peningkatan sistem dan proses, pemacu pertumbuhan mampan serta pengurusan kewangan yang mantap bagi memastikan nilai konsisten kepada pemegang unit.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *