KUALA LUMPUR – Lima warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Selayang di sini semalam atas satu pertuduhan memiliki barang kawalan, iaitu 11,883 kg minyak masak tanpa lesen, minggu lalu.
Tertuduh ialah Wong Shu Chi dan lima lelaki warganegara Myanmar, Aye Min Thu, Aung Ko Ko, Htet Aung, Htet Naung dan Than Soe Aung.
Bagaimanapun, Wong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu, manakala tiada pengakuan direkodkan bagi lima tertuduh lain selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.
Mahkamah membenarkan Wong diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 23 September ini untuk sebutan kes dan lantikan jurubahasa Myanmar lima tertuduh warga asing itu.
Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa bersama memiliki barang kawalan berjadual, iaitu minyak masak sebanyak 11,883 kg dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah di sebuah premis di Taman Industri Nautical, Rawang pada 11.30 pagi, 20 Ogos lalu.
Mereka didakwa melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dengan minyak diesel yang merupakan barang kawalan berjadual secara runcit atau borong tanpa lesen.
Pertuduhan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama yang boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan seterusnya, denda maksimum RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafizi Abdul Halim daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya manakala Wong diwakili peguam Mohd Amin Arsan. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001