BENGALURU – Polis India menggali semula kubur besar di bandar kuil di selatan negara itu berhubung siasatan dakwaan ratusan mangsa bunuh dan rogol ditanam di tapak itu sejak pertengahan 1990-an.
Siasatan tertumpu kepada Dharmasthala, lokasi sebuah kuil berusia 800 tahun di negeri Karnataka dan kini menjadi tumpuan media seluruh negara.
Seorang bekas pekerja pembersihan di kuil itu memberitahu polis bulan lalu yang dia dipaksa oleh penyelia untuk menguruskan ratusan mayat sepanjang dua dekad, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak perempuan yang menunjukkan tanda-tanda penderaan seksual.
Dakwaan itu dibuat dalam aduan polis bertarikh 4 Julai lalu, yang diperoleh Reuters.
Lelaki yang identitinya dirahsiakan pihak berkuasa atas faktor keselamatan, meninggalkan Dharmasthala pada 2014 namun kini terdorong untuk tampil membuat aduan kerana dihantui rasa bersalah.
“Jika rangka yang digali semula ini diberikan upacara pengebumian yang wajar, roh yang disiksa itu akan mendapat ketenangan dan rasa bersalah saya mungkin berkurangan,” tulisnya dalam aduan itu.
Sehingga kini, polis tidak memberikan sebarang komen berhubung aduan itu.
Jurucakap kuil berkenaan berkata, pihaknya menyambut baik siasatan menyeluruh dan berharap polis dapat ‘menyingkap fakta sebenar’.
Dalam aduannya, bekas pekerja pembersihan itu mendakwa pegawai kuil memaksanya menguruskan mayat dan memberitahu polis beliau akan mendedahkan identiti pegawai terbabit sekiranya ada jaminan keselamatan untuknya dirinya dan keluarga.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Karnataka, Gangadharaiah Parameshwara memaklumkan kepada Dewan Negeri, jaminan perlindungan kini telah disediakan.
Bekas pekerja itu turut mendedahkan beliau secara rahsia telah menggali satu rangka dari salah satu tapak perkuburan untuk membuktikan dakwaannya.
Pasukan siasatan khas yang ditubuhkan kerajaan Karnataka setakat ini telah menemui rangka manusia dari dua daripada 16 tapak perkuburan yang disyaki, menurut dua pegawai kanan polis yang enggan dinamakan kerana sensitiviti kes.
Dalam pada itu, Parameshwara berkata, polis telah mengumpul serpihan tulang, sampel tanah dan bahan lain untuk dianalisis di dua lokasi perkuburan berasaskan maklumat bekas pekerja pembersihan itu.
“Analisis sedang dijalankan. Hanya apabila semuanya selesai baru kita boleh katakan siasatan benar-benar bermula. Saya harap perkara ini tidak dijadikan isu agama,” katanya.
Sementara itu, peguam bagi pihak pengadu, Sachin Deshpande, memberitahu Reuters mereka telah menemui beberapa bahagian rangka manusia di lokasi yang ditunjuk oleh anak guamnya dan pihaknya yakin kebenaran akan terbongkar.
Beliau enggan membenarkan pengadu ditemuramah.
Pendedahan terbaru itu telah menimbulkan kembali minat terhadap kes-kes lama yang tidak diselesaikan, termasuk Padmalatha, seorang pelajar kolej yang didakwa oleh keluarganya telah dirogol dan dibunuh di Dharmasthala pada 1986.
Adik perempuannya, Indravathi, berkata keluarga mereka mengebumikan mayat Padmalatha dan tidak membakarnya menurut adat Hindu, dengan harapan ia dapat membantu siasatan pada masa depan.
“Kami berharap satu hari nanti keadilan akan ditegakkan bagi kes penculikan, rogol dan pembunuhannya,” katanya. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001