ALOR SETAR – Di sebalik sejarah panjang Klinik MAHA diasaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad, tersimpan kisah seorang doktor yang pernah menjadi pembantu kepada tokoh politik itu dan kemudian meneruskan operasi klinik berkenaan selepas Dr. Mahathir melangkah ke pentas politik nasional.
Dr. Mohamed Yacob Dawood baru berusia 33 tahun ketika dijemput Dr. Mahathir bekerja di kliniknya di Pekan Melayu, Alor Setar, Kedah.
Ketika mula berkhidmat di klinik itu, Yacob mungkin tidak pernah menyangka majikannya bakal menjadi pemimpin paling berpengaruh dalam sejarah moden Malaysia.
Dr. Mahathir menubuhkan Klinik MAHA pada 1957, yang dikenali sebagai antara klinik Melayu swasta terawal di Kedah.
Yacob mula bekerja di situ pada 1972. Dua tahun kemudian, perjalanan kerjaya mereka membawa haluan berbeza apabila Dr. Mahathir memenangi pilihan raya umum 1974 atas tiket Barisan Nasional di Kubang Pasu.
Dr. Mahathir ketika itu sudah dikenali kerana lantang dalam perbahasan politik dan mengkritik kepimpinan UMNO bawah Tunku Abdul Rahman, kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pendidikan dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein.

Pelantikan itu menyaksikan Dr. Mahathir meninggalkan dunia perubatan dan berpindah ke Kuala Lumpur.
“Pada 1974, apabila beliau memenangi pilihan raya dan menjadi Menteri Pendidikan, beliau tinggalkan saya bersendirian dan pergi ke Kuala Lumpur,” kata Yacob ketika ditemui MalaysiaNow di Klinik MAHA.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pemergian Dr. Mahathir ke Kuala Lumpur secara tidak langsung menjadikan Yacob individu yang meneruskan pengurusan klinik berkenaan.
Bagi Yacob, tanggungjawab itu bukan kecil kerana sepanjang dua tahun bekerja bersama Dr. Mahathir, beliau banyak mempelajari disiplin dan cara kerja bekas majikannya.
“Sebagai seorang pembantu selama dua tahun, banyak yang saya belajar. Beliau adalah bos sebenar saya. Bossku lah,” katanya berseloroh.
Menurut Yacob yang berasal dari Pulau Pinang, Dr. Mahathir adalah seorang yang sangat menitikberatkan disiplin dan prosedur dalam menjalankan tugas.
“Beliau sememangnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) sejak dari awal saya mengenalinya. Beliau begitu profesional dalam apa jua yang dilakukannya, itu namanya SOP,” katanya.
Klinik MAHA kemudiannya berpindah ke lokasi di pusat bandar Alor Setar pada 1980, kira-kira setahun sebelum Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat pada 1981.
Dr. Mahathir yang mendapat pendidikan perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura dan menamatkan pengajian pada 1953 sering mengaitkan pendekatan perubatan dengan cara beliau menguruskan negara.
Dalam pelbagai wawancara dan penulisannya, Dr. Mahathir pernah menggunakan analogi sesuatu masalah perlu dikenal pasti dan didiagnosis terlebih dahulu sebelum rawatan atau “ubat” diberikan.
Beliau menjadi perdana menteri sebanyak dua kali. Pertama pada 1981 ketika berusia 56 tahun dan sekali lagi pada 2018 ketika berusia 93 tahun.
Kembali memimpin negara pada usia 93 tahun, Dr. Mahathir ketika itu muncul sebagai antara pemimpin tertua dunia yang pernah memegang jawatan ketua kerajaan.
Namun, di sebalik perubahan besar dalam kehidupan politik Dr. Mahathir, Yacob terus menjalani rutin sebagai doktor di Klinik MAHA.
Hari ini, suasana klinik itu masih mengekalkan wajah sederhana sebuah klinik perubatan biasa, ruang menunggu dengan deretan kerusi, panel venir, lorong sempit dan pintu berayun.
Di dindingnya pula masih tergantung potret Dr. Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri. Hubungan antara bekas majikan dan pekerjanya itu juga tidak terputus.
Menurut Yacob, mereka masih bertemu setiap kali Dr. Mahathir pulang ke Kedah.
“Kali terakhir saya berjumpa dengannya ketika berbuka puasa, bukan puasa tahun ini, tetapi tahun sebelum itu (2019),” katanya.
Rasa bangga Yacob terhadap Dr. Mahathir turut dikongsi Mercy Samuel, jururawat yang pernah berkhidmat di Klinik MAHA selama kira-kira empat dekad.
Walaupun Mercy menyertai klinik itu selepas Dr. Mahathir tidak lagi mengendalikan operasi harian, beliau menganggap peluang bekerja di situ sebagai satu pengalaman istimewa kerana klinik berkenaan mempunyai sejarah panjang dalam perkembangan perkhidmatan perubatan swasta Melayu di Kedah.

“Tahun-tahun yang saya lalui di klinik ini adalah kerana Tun Dr. Mahathir. Saya amat kagum dengan beliau, dan disebabkan itu saya telah bekerja di sini sejak 1979,” katanya.
Dari sebuah klinik kecil yang diasaskan seorang doktor muda pada 1957, Klinik MAHA akhirnya menjadi sebahagian daripada kisah lebih besar iaitu kisah seorang doktor yang meninggalkan bidang perubatan untuk politik, manakala pembantunya pula meneruskan denyut kehidupan klinik itu selama puluhan tahun. – Sumber Rafique Rashid Fan Club.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
