Khir Toyo sertai Bersatu, anggap UMNO sekadar ‘supplement’ kepada PH

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Khir Toyo menganggap UMNO tidak akan menjadi lebih daripada sekadar ‘supplement’ kepada Pakatan Harapan.

Mengumumkan secara rasmi penyertaan beliau ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Mohamad Khir berkata, beliau lebih yakin dengan kejujuran pemimpin parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dalam membela nasib bangsa.

Bekas ADUN Sungai Panjang itu berkata, beliau yakin UMNO tidak akan menjadi dominan, dan menjangkakan parti itu tidak akan bertanding dengan jumlah kerusi yang melebihi PKR.

“Lagi pun sekarang memang telah nyata Bersatu telah menggantikan UMNO, jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki oleh Bersatu jauh lebih besar daripada UMNO.

“UMNO pula telah menjadi parti supplement kepada PH. Dalam PRU akan datang saya tak jangka UMNO akan bertanding dengan jumlah kerusi yang lebih dari jumlah kerusi PKR.

“Bagaimana UMNO ingin menjadi dominan jika bertanding dengan kerusi yang sedikit? UMNO akan terus jadi parti supplement jika terus menyorok di bawah ketiak PH,” tegasnya lagi.

Mohamad Khir berkata, beliau tidak bercita-cita untuk menjadi pemimpin besar lagi, tetapi beliau tidak mahu berjuang dalam parti yang hanya sekadar parti supplement kepada parti lain.

“Saya sangat hargai peluang yang UMNO berikan pada saya dan secara peribadi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad (Bekas Perdana Menteri) yang telah memilih saya untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

“Kepada pimpinan Bersatu, saya orang kecil, tidak ada cita-cita besar.

“Izinkan saya menghabiskan sisa-sisa kudrat yang ada untuk memastikan pimpinan negara dikuasai oleh pemimpin Melayu yang mampu memberi keadilan pada semua seperti yang pernah UMNO lahirkan dulu,” katanya lagi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *