Kuala Lumpur – Keputusan Sisters in Islam (SIS) menggugurkan nama ‘Islam’ daripada jenama rasmi mereka telah menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat Islam, ada yang melihatnya sebagai wajar, tidak kurang pula ada pihak yang mempersoalkan apakah implikasinya kepada pertubuhan Islam lain yang menggunakan label Islam sebagai jenamanya.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa fatwa tahun 2014 oleh pihak berkuasa agama Selangor tidak boleh dikuatkuasakan ke atas SIS kerana ia merupakan sebuah syarikat, bukan individu Muslim.
Katanya, keputusan yang dibuat oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika itu disalahertikan sebagai ‘mencabar fatwa’ walaupun beliau dengan tegas menyatakan keputusan penghakiman tersebut tidak menyentuh teras akidah dan hanya melihatnya dari sudut teknikal perundangan.
“Perlu dijelaskan bahawa tindakan SIS dalam penjenamaan semula nama ini bukanlah atas arahan mahkamah tetapi dibuat sebagai suatu reaksi terhadap tekanan berterusan, termasuk daripada pihak istana yang menzahirkan kebimbangan kekeliruan masyarakat terhadap penggunaan nama ‘Islam’ walaupun keputusan mahkamah berpihak kepada SIS.
“Persoalannya, apakah implikasi tindakan ini kepada pertubuhan lain yang menggunakan nama Islam sebagai jenama mereka sama ada dari pertubuhan politik mahupun Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Parti Islam Se Malaysia (PAS), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan yang berkaitan.
“Apakah atas premis yang sama jika berlaku sesuatu kekeliruan dari pertubuhan-pertubuhan yang menggunakan jenama Islam, maka mereka pun perlu menggugurkan nama Islam dalam pertubuhan mereka?” soalnya dalam satu kenyataan media.
Dr Mujahid berkata, banyak kes yang berlaku apabila pihak tertentu yang melabelkan pertubuhannya dengan jenama politik Islam tetapi memburukkan nama baik Islam dengan mempamerkan akhlak keji seperti menyebarkan budaya fitnah dan telah pun dibuktikan di mahkamah bahawa tuduhan jahat mereka tersebut berbentuk fitnah.
Katanya, langkah menggugurkan nama Islam atas tujuan memelihara nama baik Islam daripada dikelirukan dan dicemari merupakan keputusan yang wajar kerana ia tidak seharusnya dibiarkan secara berterusan mengheret ummah kepada polemik dan kekeliruan sehingga boleh menyebabkan perpecahan.
Bagaimanapun katanya, jika perkara ini tidak ditangani dengan adil, ia boleh menjejaskan kepercayaan rakyat dan persepsi mereka terhadap mana-mana institusi atau pertubuhan yang bergerak atas mana-mana nama dan label Islam.
“Setiap kita harus berusaha memelihara nama baik Islam tetapi pada waktu yang sama harus sedar juga bahawa skop Islam itu luas, skop muamalat dan siasah terbuka kepada ruang ijtihad semasa yang luas sekaligus mengundang perbezaan pandangan.
“Pengawalan identiti Islam tidak seharusnya menjadi alat untuk membungkam atau menafikan perbezaan pandangan yang dianjurkan dalam Islam kerana memelihara keluasan pandangan itu adalah sebahagian daripada memelihara nama baik Islam dengan syarat ia dilakukan dengan penuh beradab, berhikmah serta hormat menghormati antara satu sama lain sebagai manifestasi akhlak rahmah dalam berbeza pandangan,” katanya.
Beliau berkata, bagaimana pun tidak menjadi hasratnya untuk mendesak nama Islam perlu digugurkan dalam mana-mana pertubuhan secara umum kerana sesuatu kes itu perlu dinilai mengikut konteksnya yang unik serta kesan kemudaratannya kepada ummah dan negara.
Katanya, isu tersebut sangat menyentuh sensitiviti ummah dan perlu ditangani dengan halus dan berhikmah umpama menarik sehelai rambut dalam tepung.
“Saya ingin menegaskan agar pengawalan dan pengawasan yang saksama serta telus hendaklah dilaksanakan secara proaktif sebagai rujukan pada masa hadapan dan tidak boleh bersifat reaktif dan selektif.
“Persoalannya apakah piawaian yang boleh dianggap keliru dan mencemarkan nama baik Islam dalam mana-mana pertubuhan perlu diusahakan supaya episod cabar mencabar di mahkamah antara pihak masyarakat sivil dan pihak berkuasa agama tidak berulang lagi.
“Apakah ruang kompromi dalam menangani perbezaan pandangan yang dianjurkan oleh Islam? Semua persoalan ini perlu ditangani melalui sesi libat urus pihak berkuasa agama dengan semua pihak yang berkepentingan,” katanya.
Dr Mujahid berkata, Islam di Malaysia harus kekal unggul dan dimartabatkan sebagai agama yang luas wacananya dan mendalam impaknya, merangkumi nilai-nilai adil, rahmah dan hikmah.
Katanya, sebaliknya pihak yang menggunakan nama Islam tetapi penuh dengan maki hamun, cacian dan fitnah serta berfahaman radikal dan ekstrim harus diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara telah jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dengan turut menjamin kebebasan beragama penganut agama selain Islam.
“Islam perlu dilihat dari sudut isi dan amalannya bukan sekadar jenama dan label tetapi kosong penghayatannya sebagaimana satu kaedah hukum yang masyhur dalam Islam yang menyebut ‘Pengajaran (manfaat) sesuatu ialah daripada isinya dan bukan labelnya’.
“Penjenamaan semula SIS harus menjadi titik mula kepada satu perbincangan lebih besar dan berani, iaitu persoalan bagaimana kita di Malaysia mahu mengurus identiti Islam secara adil, terbuka dan matang.
“Dialog yang terbuka antara institusi agama, pemimpin politik, NGO dan masyarakat sivil perlu dilaksanakan untuk menjernihkan segala kekeliruan dan kekeruhan yang timbul dari episod ini demi menjaga nama baik Islam,” katanya.
Ujarnya, Islam di Malaysia mesti dilihat sebagai agama yang sentiasa menjunjung keadilan, kasih sayang dan kepelbagaian pandangan bukan ekslusif untuk satu suara atau kelompok sahaja.