KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti had umur persaraan wajib untuk disesuaikan dengan peralihan kepada negara tua.
Perkara itu terkandung dalam prakarsa kesembilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memberi penekanan kepada usaha mencapai keadilan sosial dan kesaksamaan peluang untuk kesemua rakyat.
Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan kerajaan sedang menimbang untuk menaikkan had usia persaraan daripada 60 kepada 65 tahun.
Beliau berkata, perubahan had usia persaraan itu wajar kerana ramai dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas masih aktif.
Katanya, ada beberapa negara lain turut melaksanakan had usia persaraan sehingga 65 tahun.
Perdana Menteri dalam maklum balasnya turut menjelaskan bahawa cadangan itu belum dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan oleh Jemaah Menteri.
Beliau bagaimanapun berpendirian, cadangan itu wajar diberi perhatian dengan isu berkaitan termasuk peluang pekerjaan dan kos wajar diberi pertimbangan.
Untuk rekod, Malaysia berada di ambang perubahan demografi besar apabila dijangka mencapai status negara menua menjelang 2030, sekali gus memberi tekanan besar kepada sistem penjagaan kesihatan dan keselamatan sosial.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001