SINGAPURA – Selepas melalui perpisahan dengan bekas isteri, Bella Astillah, penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz menyatakan beliau gembira melihat Bella terus melangkah ke hadapan dan menjalani kehidupan.
Apabila ditanya mengenai fenomena media sosial yang giat meraikan hubungan pasangan selebriti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella yang sering dikaitkan dengan tanda pagar #BASS, Aliff, 34, bersikap terbuka.
Bagi Aliff, jika itu adalah kebahagiaan buat mereka, beliau reda dan mendoakan yang terbaik untuk kedua-duanya, katanya dalam temu ramah dengan Berita Minggu (BM) Singapura, petik Harian Metro.
Apa yang telah berlaku dalam hidupnya dianggap sebagai perkara yang sudah berlalu dan kini, Aliff lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada dirinya sendiri.
Namun, apa yang paling utama, menurutnya: “Ayden dan Ara dikerumuni orang-orang yang sayang mereka, insya-Allah. Itu yang pertama saya fikir. Siapa pun di sekeliling mereka, asalkan mereka disayangi dan dilayan dengan baik… Itu sudah memadai.”
Sebagai bapa, Aliff menyatakan bahawa beliau melihat mereka kelihatan bahagia dan tidak timbul sebarang rasa cemburu dalam dirinya.
Sebaliknya, beliau bersyukur kerana anak-anaknya berada dalam jagaan individu yang menyayangi mereka.
Bekas juara musim kelapan Gegar Vaganza (GV8) itu turut meluahkan kerinduan mendalam terhadap dua anaknya, Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5, yang dikatakan terputus hubungan dengannya sejak 2024.
Ketika ditemu ramah BM Singapura, Aliff mengakui beliau masih belum berpeluang bertemu mahupun berhubung secara langsung dengan anak-anaknya.
Malah, beliau sering sukar menonton rakaman video mereka hingga habis kerana terlalu sebak.
Walaupun jauh, Aliff mengikuti perkembangan anak-anak terutama apabila tiba bulan kelahiran mereka, iaitu 8 Julai bagi Ayden dan 18 Julai bagi Ara.
“Saya rindu sangat. Doa saya setiap hari adalah untuk dapat lihat mereka semula dan sampaikan segala yang saya simpan dalam hati.
“Daddy sentiasa ingat dan mendoakan Ayden dan Ara… I love you so much and I miss you,” katanya.
Aliff berharap Beliau berharap suattu hari nanti takdir mempertemukan mereka semula agar dapat menjelaskan banyak perkara yang selama ini terpendam.
Pada 21 Februari lalu, Aliff dan seorang pelakon dari Malaysia, Ruhainies, atau nama lengkapnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, didenda RM3,000 (S$906) oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat.
Media sebelum ini melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah pada Mac 2024.
Bella dan Aliff, yang berkahwin pada 2016, bercerai dengan talak satu pada 13 Jun 2024.
Dalam wawancara dengan BM Singapura, Aliff tidak berselindung mengenai rasa bersalah kerana tidak dapat bersama Ayden dan Ara pada saat-saat penting membesar.
Aliff juga bimbang bagaimana penerimaan anak-anaknya kelak, lebih-lebih lagi apabila persepsi masyarakat terhadap dirinya sering bercampur-baur.
Menurutnya, beliau kerap berdepan dilema, sama ada kekal berdiam diri bagi menjaga sensitiviti keluarga atau mengambil langkah undang-undang yang mungkin menambah ketegangan.
Aliff juga menegaskan bahawa fokus hidupnya kini bukan lagi terhadap perkara-perkara luaran atau sensasi semasa.
Justeru, beliau memilih untuk menumpukan sepenuh tenaga terhadap proses pemulihan dan mengatur langkah untuk bangkit kembali.
Dalam perkongsian sama, Aliff menzahirkan penghargaan buat ibunya, kerana tetap mempertahankannya meskipun keluarga mereka tidak terlepas daripada tumpuan umum.
Beliau sedar keluarganya menanggung tempias daripada setiap isu yang melanda dirinya dan bertekad untuk bangkit dan menjadi insan yang boleh mereka banggakan semula.
Aliff turut menyentuh tekanan yang lahir daripada naratif media dan tanggapan awam mengenai kehidupan peribadinya.
Katanya, ada waktu beliau berasa tersekat langkah dan mahu bersuara untuk mempertahankan diri, namun, memikirkan kesan terhadap anak-anak dan keluarga.
“Kadang-kadang saya nak cerita semuanya. Tapi bila fikirkan kesan terhadap anak-anak dan keluarga, saya jadi serba salah,” luahnya.
BM Singapura berusaha menghubungi Bella untuk mendapatkan komen mengenai kenyataan Aliff, tetapi tidak mendapat respons. – BM Singapura
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001