BENGALURU – Wall Street Journal (WSJ) semalam melaporkan, rakaman kotak hitam perbualan antara dua juruterbang pesawat Air India menunjukkan, kapten pesawat itu mematikan suis yang mengawal aliran bahan api ke dua enjin pesawat.
Mereka memetik sumber yang terbabit dalam penilaian awal pegawai Amerika Syarikat (AS) terhadap bukti siasatan nahas itu.
Reuters bagaimanapun belum dapat mengesahkan laporan itu secara bebas.
Sementara itu, dalam laporan pemberitaan lain, Air India sedang menyiapkan laporan pemeriksaan terhadap suis kawalan bahan api pada pesawat Boeing 787 dan mereka didakwa tidak menemui sebarang isu.
Isnin lalu, pihak berkuasa India mengarahkan semua syarikat penerbangan untuk memeriksa suis bahan api pada beberapa model pesawat Boeing, manakala Korea Selatan turut mengarahkan langkah serupa, sehari selepas itu.
Ketika ini, siasatan nahas maut pesawat Air India bulan lalu yang meragut 260 nyawa, semakin tertumpu kepada kunci suis bahan api.
Direktorat Jeneral Penerbangan Awam India (DGCA) berkata, mereka sudah mengeluarkan arahan untuk menyiasat kunci suis bahan api pada beberapa model Boeing, termasuk 787 dan 737, selepas beberapa syarikat penerbangan India dan antarabangsa mula menjalankan pemeriksaan mereka sendiri.
Laporan awal nahas yang dikeluarkan minggu lalu mendapati, suis berkenaan hampir serentak berubah dari kedudukan ‘run’ ke ‘cut off’ sejurus selepas pesawat berlepas.
Dalam laporan nahas paling buruk dalam tempoh sedekat itu, pesawat Boeing Dreamliner yang dalam penerbangan menuju ke London dari bandar Ahmedabad di India mula kehilangan kuasa tujahan dan menjunam tidak lama selepas berlepas.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001