KOTA BHARU – Dua peguam menawarkan khidmat guaman percuma kepada Amir Raja Lawak berhubung bayaran tertunggak yang belum dijelaskan oleh sebuah stesen televisyen.
Peguam Nik Saiful Adli Burhan dan Che Muhammad Redzuan Jihad dari firma guaman Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli, cawangan Melor serta Tumpat, Kelantan membuat tawaran itu kerana simpati dengan nasib Amir, yang terpaksa menjual keretanya untuk meneruskan kesinambungan hidup.
“Dengan ini, kami berdua sebagai rakan kongsi dalam firma guaman bersedia menawarkan khidmat guaman percuma (pro bono) kepada saudara Amir Raja Lawak.
“Tawaran ini dibuat atas dasar ehsan dan tanggungjawab sosial, lebih-lebih lagi apabila beliau menyatakan tidak mampu menanggung kos peguam bagi membuat tuntutan dan bahkan terpaksa menjual kenderaan miliknya bagi menampung kehidupan akibat bayaran yang belum diterima.
“Beliau juga anak Kelantan yang banyak memperomosikan negeri ini kepada masyarakat seluruh Malaysia melalui karya dan lawaknya yang dipersembahkan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan, Amir Raja Lawak meluahkan rasa sedih apabila terpaksa menjual keretanya bagi mendapatkan wang segera susulan belum menerima bayaran daripada sebuah stesen televisyen terkenal.
Perkara itu dikongsikan Amir atau nama penuhnya Mohammad Amirullah Azmi menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada Jumaat, yang memaklumkan penantian terhadap bayaran tertangguh memaksanya ‘mencairkan’ salah satu aset miliknya, iaitu sebuah kereta jenis Proton Juara.

“Bayaran dari stesen televisyen belum dapat lagi, hari ini saya jual kereta untuk tampung apa yang patut.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Ada juga terasa sedih sebab kereta ini, walaupun sekejap bersama saya, tetapi banyak kenangan dan jasa kepada saya,” luah Amir, 36, yang turut berkongsi kereta itu bukan sekadar kenderaan peribadi, malah banyak menemaninya menjalankan perniagaan kecil-kecilan sebelum ini.
Menurut Nik Saiful Adli, antara perkhidmatan guaman yang ditawarkan ialah penyediaan surat tuntutan (Letter of Demand) kepada pihak terlibat; rundingan perundangan antara pihak-pihak berkepentingan; nasihat berkaitan hak-hak kontrak sivil dan kaedah tuntutan sewajarnya; serta saman sivil di Mahkamah sekiranya perlu.
“Kami sedar jumlah yang dituntut mungkin kelihatan kecil dalam konteks kos guaman biasa, tetapi nilai keadilan dan hak seseorang individu tidak harus diukur dengan jumlah wang semata-mata.
“Undang-undang adalah hak semua termasuk mereka yang tidak mampu menanggung kos guaman.
“Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami dalam menyumbang kepada khidmat masyarakat, dengan harapan agar tiada sesiapa dinafikan hak hanya kerana kekangan kewangan,” katanya.
Katanya, beliau telah menghubungi Amir di akaun Facebooknya untuk menawarkan perkhidmatan guaman dan masih menunggu respon pelawak itu. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
