AGC tidak pertikai kewujudan Titah Adendum Najib, namun pertikai cara dokumen dikemuka

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini dimaklumkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempertikaikan kewujudan perintah tambahan diraja iaitu Titah Adendum yang didakwa membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun, menurut Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, AGC membantah cara dokumen berkenaan dikemukakan dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Beliau berkata, pihak responden perlu mematuhi peraturan dan prosedur mahkamah sekiranya mahu mengemukakan bukti baharu.

“Kami kekal dengan pendirian kami. Segala hujahan telah dikemukakan dan kami serahkan kepada budi bicara mahkamah,” katanya di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.

Turut bersidang, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Mahkamah hari ini mendengar rayuan pihak Peguam Negara untuk membatalkan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu yang memutuskan supaya kes semakan kehakiman Najib dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan merit.

Dalam prosiding hari ini, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah tanggungjawab untuk mengesahkan kewujudan dokumen perintah tambahan itu adalah pada pihak Peguam Negara, bukan anak guamnya.

Menurut beliau, Najib tidak mempunyai akses kepada dokumen berkenaan semasa permohonan awal kerana sifatnya yang sulit dan tidak didedahkan kepada umum.

“Anak guam saya telah bertindak sewajarnya untuk mendapatkan pengesahan mengenai kewujudan dokumen tersebut. Malah, dokumen itu hanya diperoleh oleh anak beliau, Datuk Mohamad Nizar, selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan menolak permohonan semakan,” katanya.

Shafee berkata, dokumen berkenaan turut disertakan dengan syarat ia tidak boleh digunakan tanpa keizinan Istana Negara. Hanya selepas keizinan diberikan pada 2 Disember 2024, Najib memfailkan afidavit dan menyerahkannya kepada mahkamah.

“Tindakan segera ini menunjukkan tiada sebarang kelewatan tidak munasabah. Malah, ia mencerminkan anak guam kami bertindak melebihi tanggungjawab undang-undang bagi membantu mahkamah ini,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan keputusan akan diumumkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Kami akan maklumkan tarikh dan keputusan. Terima kasih atas semua hujahan dan dokumen yang dikemukakan. Mahkamah ditangguhkan,” kata Hakim Hasnah.

Terdahulu, pada 6 Januari, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti memutuskan agar kes semakan kehakiman berkaitan dakwaan kewujudan perintah tambahan yang membolehkan Najib menjalani tahanan rumah dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Namun, pada 28 April lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Pada Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta. – Astro AWANI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *