Pelajar disyaki bunuh ibu, abang: Mangsa ditikam di dada, belakang badan

MELAKA: Bedah siasat ke atas mayat seorang ibu dan anak lelaki sulungnya yang dibunuh di rumah mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai di sini, awal pagi semalam, menemui kesan tikaman pada bahagian dada serta belakang badan mangsa.

Kedua-dua mangsa dipercayai dibunuh oleh seorang lagi anak lelaki wanita itu yang berumur 17 tahun, manakala adik bongsu suspek pula ditemui berlumuran darah di garaj rumah akibat cedera dalam insiden kira-kira jam 5 pagi berkenaan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata terdapat kesan tikaman di dada serta belakang badan wanita berusia 51 tahun yang juga seorang guru itu.

Beliau berkata, anak lelaki sulung mangsa yang berumur 21 tahun pula maut selepas ditikam di dada.

“Anak lelaki bongsu mangsa yang berusia 13 tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka, dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Terdahulu, suspek yang juga anak kedua mangsa wanita itu, direman tujuh hari bermula semalam hingga 19 Jun ini.

Perintah reman terhadap pelajar Tingkatan Lima itu dikeluarkan oleh Majistret N Sivashangari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, media melaporkan seorang guru wanita yang juga ibu tunggal dan anak sulung maut, manakala anak bongsunya parah dipercayai akibat ditikam di kediaman mereka.

Dzulkhairi dipetik berkata, hasil siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat tekanan perasaan serta dendam dialami suspek kerana sering dipaksa belajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

Polis menahan suspek yang berada di luar rumahnya dalam keadaan termenung, selain menemui senjata dipercayai digunakan dalam kejadian itu membabitkan pisau lipat berukuran 20 sentimeter dengan kesan darah yang disimpan dalam beg sekolah di luar rumah.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *