KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera Israel ke atas Iran, yang disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan negara itu dan undang-undang antarabangsa.
Dalam satu kenyataan dimuat naik di laman sesawang rasmi, semalam, Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha, berkata serangan itu adalah ancaman serius terhadap keamanan dan kestabilan serantau.
Beliau menggesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) agar bertindak segera serta tegas bagi menghentikan serangan itu.
“Serangan itu menjejaskan keselamatan di seluruh rantau. Majlis Keselamatan perlu memikul tanggungjawabnya,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, semalam berkata Tokyo akan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan dalam Kumpulan Tujuh (G7) bagi membantu meredakan ketegangan di Asia Barat susulan serangan tentera Israel ke atas Iran, lapor agensi berita Kyodo.
Beliau berkata, Jepun akan menyatakan pendiriannya pada Sidang Kemuncak G7 dijadualkan berlangsung di Kanada mulai Isnin depan, sambil menekankan kepentingan usaha antarabangsa yang diselaraskan bagi mengelak keadaan daripada terus meruncing.
Ishiba turut mengecam serangan Israel itu dengan menyifatkannya sebagai ‘sama sekali tidak boleh diterima’ dan ‘amat dikesali.’
“Segala tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan mesti dielakkan,” katanya kepada media, merujuk kepada serangan Israel dan tindak balas yang dilaporkan daripada pihak Iran.
Jepun – yang secara tradisinya mengekalkan hubungan baik dengan Iran berikutan kebergantungan pada bekalan minyak mentah dari negara itu – sudah lama mengamalkan pendekatan diplomatik yang seimbang di rantau berkenaan.
Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya, pada satu sidang media pula menekankan bahawa keamanan dan kestabilan di Asia Barat adalah ‘amat penting’ bagi Jepun, sekali gus menggesa semua pihak agar mengamalkan ‘tahap kawalan diri yang maksimum.’
Iwaya turut memaklumkan bahawa Tokyo akan mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan rakyat Jepun di rantau itu.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, semalam berkata Perancis bersedia untuk bekerjasama dengan rakan antarabangsa bagi mengelak peningkatan ketegangan di Asia Barat susulan serangan tentera Israel ke atas Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam suasana ketegangan kian memuncak, Macron menggesa semua pihak supaya ‘mengamalkan tahap kawalan diri maksimum’ bagi mengekalkan kestabilan serantau.
Katanya, beliau telah memanggil mesyuarat Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara serta memberi jaminan bahawa semua langkah perlu akan diambil bagi melindungi warga Perancis dan perwakilan negara itu di rantau berkenaan.
“Semua langkah juga akan dilaksana untuk memastikan perlindungan wilayah negara dan rakyat kami,” katanya.
Macron turut memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin utama serantau dan antarabangsa, termasuk Putera Mahkota Arab Saudi, Raja Jordan, Presiden Emiriah Arab Bersatu, Amir Qatar, Canselor Jerman, Perdana Menteri United Kingdom dan Presiden Amerika Syarikat.
“Keamanan dan keselamatan untuk semua di rantau ini mesti menjadi prinsip panduan kita,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001