Faiz Fadzil

Pas hipokrit desak Anwar letak jawatan, tapi gagal lakukan terhadap pemimpin sendiri

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Nasional (Amanah) menyifatkan Pas sebagai hipokrit apabila lantang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan, tetapi berdiam apabila ada di kalangan pemimpinnya disiasat serta didakwa.

Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil berkata, Pas berhujah kononnya desakan itu bagi menjamin integriti bagi memastikan pegawai polis dapat menjalankan siasatan ke atas Anwar berikutan kes melibatkan bekas pembantunya, Yusoff Rawther.

“Kenyataan pemimpin Pas termasuk Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendesak Anwar meletak jawatan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Yusoff Rawther adalah hipokrit.

“Ini kerana Pas sendiri gagal melakukan perkara sama ketika pemimpinnya disiasat dan didakwa terutama berkaitan kes menghina sultan di bawah Akta Hasutan.

“Apabila melibatkan pemimpin mereka, tidak pula didesak perkara yang sama demi menjaga integriti Institusi Diraja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tegas Faiz, desakan Pas itu dibuat semata-mata untuk membina persepsi jahat terhadap Anwar, sedangkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin menunjukkan sikap tidak campur tangan Perdana Menteri dalam sistem kehakiman.

Katanya, sikap itu melambangkan prinsip integriti yang diperjuangkan Pakatan harapan (PH) dan agenda reformasi yang digagaskan Anwar dalam menjamin kebebasan badan kehakiman benar-benar dilaksanakan.

“Adapun kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Pas lain bahawa saman boleh dibuat terhadap polis kerana tidak menyiasat Anwar juga tidak berasas kerana Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah menjelaskan laporan tersebut telah disiasat di peringkat awal.

“Sungguhpun prinsip undang-undang jenayah menghendaki penyiasatan adil dan menyeluruh, namun bagi menyaman polis perlu ditunjukkan wujudnya satu tindakan niat jahat (malicious) oleh pihak berkuasa itu.

“Memandangkan tiada apa-apa bukti menunjukkan campur tangan Anwar dalam penyiasatan tersebut, maka di mana berlakunya niat jahat tersebut?,” soalnya.

Menurutnya lagi, prinsip undang-undang adalah jelas, polis dianggap menyiasat sesuatu kes berdasarkan keterangan yang ada dan relevan tanpa dicemari motif lain sepertimana diputuskan Mahkamah Tinggi dalam kes PP v Mohamed Ali (1962) MLJ 257 “When the police witness say something that is not inherently improbable, his evidence must in the first instance be accepted”.

Tindakan Pas, kata Faiz, mempolitikkan keputusan Mahkamah Tinggi itu adalah satu perbuatan terdesak dan hipokrit kerana parti itu sendiri gagal bersikap adil dalam kes melibatkan pemimpinnya, sedangkan keadilan itu bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi perlu dilihat dilaksanakan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *