Hamas terima cadangan gencatan senjata oleh AS, syaratnya Israel undur dari Gaza

GAZA – Hamas bersetuju secara prinsip terhadap cadangan gencatan senjata yang dikemukakan utusan Amerika Syarikat ke Asia Barat, Steve Witkoff, namun meletakkan syarat utama iaitu penamatan perang dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.

Sebagai sebahagian daripada cadangan itu, Hamas akan membebaskan 10 tebusan yang masih hidup dan 18 mayat sebagai pertukaran kepada pembebasan sejumlah tahanan Palestin oleh Israel.

“Cadangan ini bertujuan untuk mencapai gencatan senjata kekal, pengunduran menyeluruh dari Semenanjung Gaza serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada rakyat dan keluarga kami di Gaza,” kata Hamas menerusi kenyataan pada Sabtu.

Hamas berkata, maklum balas terhadap cadangan tersebut dibuat selepas perbincangan dan rundingan bersama pihak-pihak berkepentingan di peringkat nasional.

Kenyataan itu tidak menyebut sebarang pindaan diminta terhadap cadangan asal, namun seorang pegawai Palestin yang rapat dengan rundingan memberitahu Reuters, Hamas mencadangkan beberapa pindaan kecil dan ia dikatakan mendapat maklum balas positif.

Setakat ini, Pejabat Perdana Menteri Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas.

Awal minggu ini, media Israel melaporkan, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memaklumkan kepada keluarga tebusan bahawa kerajaan telah menerima cadangan Witkoff, namun enggan memberi komen secara rasmi.

Sementara itu, Witkoff menerusi hantaran di platform X berkata, beliau telah menerima maklum balas Hamas dan menyifatkannya sebagai “satu langkah ke belakang” serta “langsung tidak boleh diterima”.

“Hamas sepatutnya menerima kerangka perjanjian yang kami kemukakan sebagai asas rundingan jarak dekat, yang boleh dimulakan serta-merta minggu hadapan,” katanya.

Manakala seorang pegawai Israel memberitahu CNN, pihaknya melihat respons Hamas itu sebagai penolakan terhadap cadangan Witkoff, sebaliknya memperkenalkan syarat baharu yang ditetapkan sendiri oleh kumpulan itu.

Pejabat Perdana Menteri Israel dalam kenyataan berasingan pada hari sama turut mengulangi pendirian Witkoff dengan menyatakan: “Israel telah bersetuju dengan pelan kemas kini Witkoff bagi membebaskan tebusan kami, namun Hamas terus berkeras menolak.”

“Israel akan meneruskan usaha untuk membawa pulang semua tebusan dan menewaskan Hamas,” kata kenyataan itu lagi.

Isi kandungan pelan AS

Pelan gencatan senjata yang disokong AS dan telah dipersetujui oleh Israel, seperti dilihat oleh CNN pada Jumaat, mencadangkan agar Hamas membebaskan 10 tebusan Israel dan menyerahkan 18 mayat, sebagai pertukaran dengan pembebasan 125 tahanan Palestin yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup, serta 1,111 rakyat Gaza yang ditahan sejak perang bermula.

Rundingan ke arah gencatan senjata kekal akan dimulakan sejurus hari pertama gencatan 60 hari dimulakan.

Pelan itu juga membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza serta-merta dan diagihkan menerusi saluran yang dipersetujui, termasuk PBB dan Bulan Sabit Merah.

Namun, draf perjanjian tersebut tidak mengandungi jaminan untuk menamatkan perang secara kekal – tuntutan utama Hamas – dan tiada jaminan bahawa gencatan senjata akan dilanjutkan selagi rundingan berjalan.

Sebaliknya, dokumen itu menyatakan bahawa Presiden AS, Donald Trump, “komited untuk memastikan rundingan yang jujur diteruskan sehingga perjanjian akhir dicapai.”

Hamas sebelum ini menyatakan rasa keberatan untuk menerima pelan tersebut.

Ahli biro politik Hamas, Bassem Naim, menulis di Facebook pada Khamis bahawa kerangka tersebut “tidak memenuhi sebarang tuntutan rakyat kami” namun menegaskan perbincangan tetap diteruskan.

Krisis kemanusiaan di Gaza semakin buruk

Pertelingkahan antara Israel dan Hamas ini berlaku ketika keadaan kebuluran di Semenanjung Gaza terus meruncing.

Sekatan Israel selama 11 minggu terhadap bantuan kemanusiaan menyebabkan penduduk Gaza berdepan kebuluran.

Walaupun sekatan itu telah ditamatkan minggu lalu, bantuan yang memasuki wilayah itu sangat terhad dan sebahagiannya telah dirompak oleh orang awam yang terdesak.

Beberapa individu turut terbunuh dalam kekacauan yang berlaku di lokasi pengagihan bantuan, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Menurut Program Makanan Sedunia (WFP), hampir 80 trak bantuan yang bergerak di selatan dan tengah Gaza telah dirompak pada Sabtu.

Dalam kenyataan di platform X, WFP berkata, 77 trak yang membawa tepung gandum telah melintasi sempadan ke Gaza namun kesemuanya “dihentikan di tengah jalan, dan bekalan makanan dirampas oleh penduduk yang kelaparan.”

Tambah kenyataan itu: “Selepas 80 hari dihentikan sepenuhnya, komuniti sedang kelaparan dan mereka tidak lagi sanggup melepaskan makanan yang lalu di hadapan mereka.” – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *