Oleh: Datuk Seri Zambry Abd. Kadir
KETIKA merasmikan buku “Hubungan Dua Permata Tamadun Belahan Timur Dunia” karya YB. Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan bersama 12 penulis lain, saya amat kagum dengan usaha kolektif ini yang mendokumentasikan hubungan panjang dan mendalam antara Tamadun Melayu dan Tamadun China, dua tamadun besar yang telah lama terjalin sejak berabad lamanya.
Hubungan ini bukan sahaja dalam bentuk perdagangan dan diplomasi, tetapi juga dalam bidang bahasa dan budaya.
Saya turut berkongsi mengenai kewujudan kamus dwibahasa Melayu-Cina yang telah wujud seawal tahun 1403, sebagai bukti bahawa interaksi bahasa dan komunikasi antara kedua-dua bangsa ini telah lama berlaku secara tersusun dan terancang.
Malah, kerajaan Dinasti Ming ketika itu mengiktiraf kepentingan bahasa Melayu hingga melantik jurubahasa rasmi dan menyusun kamus bagi tujuan hubungan luar yang bernama “Manlajia Guo Yiyu”.
Buku ini turut mengandungi perkongsian pengalaman China dalam mengembangkan bahasa Melayu melalui institusi pengajian tinggi mereka.
Kita tidak boleh menafikan bahawa hari ini, bahasa Melayu telah berkembang pesat di negara China dengan penubuhan lebih 15 pusat pengajian Melayu, termasuk di universiti tersohor seperti Beijing Foreign Studies University (BFSU), tempat di mana Prof. Awang Sariyan pernah menyandang Kursi Pengajian Melayu dua kali.
Pelancaran buku ini berlangsung dengan meriah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di WTC KL yang menyaksikan kehadiran ramai pencinta ilmu dari seluruh pelusuk negara.
Saya menyarankan buku ini menjadi bacaan dan rujukan anak-anak muda agar sejarah yang terukir antara Malaysia dan China lebih difahami.
Sememangnya, karya-karya Profesor Emeritus menjadi sumbangan besar kepada dunia akademik dan diplomasi budaya.
Ia mengingatkan kita bahawa hubungan antara Tamadun Melayu dan Tamadun China bukanlah satu episod baharu, tetapi satu kesinambungan tamadun yang harus terus dipelihara dan diperluas untuk manfaat bersama pada masa depan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001