KUALA LUMPUR – Seorang lelaki diserang sekumpulan individu di Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh, awal pagi semalam, selepas menegur tindakan mereka yang berlagak seperti gangster menerusi siaran langsung di TikTok.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya mengesan penularan dua video kejadian itu pada jam 12.57 tengah malam, sebelum satu laporan diterima daripada mangsa pada hari sama.
Katanya, siasatan awal mendapati pengadu, iaitu lelaki tempatan berusia 47 tahun, menasihatkan kumpulan berkenaan dalam siaran langsung supaya tidak bergaduh, tidak menunjukkan sikap samseng dan berpolitik secara berhemah.
“Pengadu turut menyeru agar mengelakkan provokasi. Bagaimanapun, kenyataannya dipercayai menyinggung kumpulan berkenaan lalu mendorong mereka bertindak menyerangnya secara fizikal di rumah,” katanya.
Mohd Hafiz berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di beberapa bahagian badan.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Azraai Mohamad Amin di talian 018-9696941 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.
Mohd Hafiz menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan rakaman video kejadian itu bagi mengelakkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan keresahan awam.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001