Peratusan pelajar DLP lulus BM, BI, Sains dan Matematik meningkat.

160 pelajar jadi perintis Program Pendidikan Tingkatan Enam di UKM, USM

KUALA LUMPUR – Seramai 160 pelajar akan menjadi perintis Program Pendidikan Tingkatan Enam di dua universiti awam bermula 10 Jun ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program itu yang akan dilaksanakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan komitmen berterusan kementeriannya bagi meningkatkan kualiti dan martabat pendidikan Tingkatan Enam.

“Jadi, insya-Allah 10 Jun ini kita akan terima pengambilan pertama untuk 100 pelajar di UKM dan 60 pelajar di USM.

“Mereka harus membuat permohonan dan ada syarat tertentu. Kita amat menantikan program rintis ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Simbolik Penyerahan Koleksi Komik Wira Anti Rasuah, terbitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Mengulas mengenai program itu, yang diumumkannya pada 19 Mei lalu, Fadhlina berkata, tenaga pengajar bagi program itu adalah daripada KPM dan guru-guru KPM.

Beliau berkata, pada peringkat awal akan dilaksanakan di dua universiti awam terlebih dahulu sebelum diperluas ke universiti awam lain mengikut keperluan.

Berhubung pelancaran koleksi komik itu, Fadhlina juga berkata, ia antara usaha kerajaan pada peringkat paling asas untuk mendedahkan anak-anak peringkat sekolah rendah mengenai isu antirasuah.

“Mudah-mudahan dengan adanya komik dan video interaktif yang kita cadangkan diletakkan dalam platform Digital Educatioan Learning Initiative Malaysia (DELIMa) ini, KPM dapat meningkatkan lagi advokasi dan kesedaran awam khususnya anak-anak kita berkiatan antirasuah,” katanya.

Terdahulu Fadhlina menyaksikan penyerahan koleksi komik Wira Anti Rasuah daripada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman kepada Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan.

Koleksi komik itu merupakan terjemahan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu daripada buku asal berjudul Bribe Busters: A Trace Comic Book dan ia berbentuk multiformat, iaitu buku komik dan video yang berinformatif bagi menarik minat pembaca cilik dalam usaha menerapkan nilai integriti dalam diri murid.

Penerbitan buku itu, bukti komitmen dan kebersamaan ITBM dan SPRM menyokong usaha kerajaan dalam menangani punca rasuah melalui pembudayaan integriti, ketelusan dan akauntabiliti bermula daripada peringkat sekolah, selari dengan Strategi Pendidikan yang terkandung dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Bagi memastikan akses kepada buku ini sampai kepada murid-murid dan menjadi satu antara bahan bacaan dan rujukan dalam mendidik nilai baik, integriti dan patriotisme, koleksi buku ini akan diedarkan kepada semua sekolah rendah di bawah KPM. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *