KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan sudah berulat di kawasan belukar berhampiran sebuah restoran di Jalan Sultan Ismail, di sini, petang tadi.
Individu yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui orang awam dalam keadaan tergantung pada dahan pokok kira-kira jam 3.44 petang, sebelum dimaklumkan kepada polis menerusi talian MERS 999.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata pemeriksaan awal mendapati mayat tergantung menggunakan wayar hitam pada dahan sebatang pokok.
“Mayat dalam keadaan sudah berulat dan berdasarkan fizikal mangsa adalah seorang lelaki, namun umur serta bangsanya belum dapat dipastikan.
“Ia memakai kemeja-T kelabu, berseluar pendek biru cerah, bertali pinggang dan memakai selipar biru,” katanya.
Sulizmie berkata tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat itu manakala kesan kecederaan yang boleh dilihat setakat ini hanyalah pada leher.
“Punca sebenar kematian masih dalam siasatan dan proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001