ROME – Bologna menamatkan penantian 51 tahun untuk memenangi trofi utama awal pagi tadi selepas menjuarai Piala Itali dengan kemenangan 1-0 ke atas AC Milan, yang mengharungi satu lagi kekalahan memeritkan dalam musim mengecewakan.
Dan Ndoye menyumbat gol kemenangan pada minit ke-53 yang menghadiahkan Bologna kemenangan bersejarah itu, kejayaan pertama mereka sejak kali terakhir memenangi piala itu pada tahun 1974.
Malah Bologna tidak pernah layak ke final kejohanan utama sejak kali terakhir menjuarai Piala Itali – kejayaan kedua menjulang piala domestik.
Namun jurulatih Vincenzo Italiano melakukan tugas cemerlang sejak hadir menggantikan Thiago Motta di Bologna, yang memenangi kejuaraan Itali tujuh kali tetapi kali terakhir pada 1964.
Kemenangan awal pagi tadi juga yang pertama buat Italiano sebagai jurulatih ketika beliau tumpas tiga final bersama bekas kelabnya Fiorentina, termasuk final Piala Itali 2023.
Italiano dijulang oleh pemainnya ketika penyokong Bologna menari dan menangis di bangku penonton Stadio Olimpico selepas menyaksikan apa yang tidak pernah mereka saksikan.
Milan dinobat juara Eropah pada musim sama mereka kali terakhir memenangi piala pada 2003, peralihan masa buat kelab yang pernah dimiliki mendiang bekas perdana menteri Itali, Silvio Berlusconi.
Musuh ketat mereka Inter Milan layak ke final Liga Juara-Juara selain cuba mengekalkan kejuaraan Serie A manakala Milan berjuang untuk layak ke Eropah sesudah terlepas piala.
Pasukan kendalian Sergio Conceicao menghuni tangga kelapan Serie A, tiga mata di belakang AS Roma yang menduduki tempat ke Liga Konferens dan melayan kunjungan Milan, Ahad ini. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001