KUALA LUMPUR – Tex Cycle Technology (M) Berhad (Tex Cycle atau Kumpulan), penyedia penyelesaian pengurusan sisa dan kitar semula mengumumkan semua resolusi di dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) awal hari ini telah mendapat kelulusan dan sokongan penuh dari para pemegang saham syarikat.
Semua resolusi yang diluluskan itu termasuk pemilihan semula pengarah, pelantikan juruaudit, pembaharuan kuasa penerbitan saham dan mandat pembelian balik saham, selain pemegang saham juga menerima laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Para pemegang saham juga sebulat suara meluluskan pengambilalihan Meridian World Sdn. Bhd. (Meridian World) bernilai RM55 juta semasa EGM tersebut, di mana ia akan mengukuhkan lagi portfolio berorientasikan ESG Tex Cycle dengan mengembangkan tawaran perkhidmatannya untuk merangkumi rawatan air sisa, pemprosesan kimia dan perundingan alam sekitar, meningkatkan kehadiran dan keupayaan pasarannya dengan ketara.
Tex Cycle turut mengumumkan keputusan kewangannya untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (S1 TK2025), dengan Kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM8.9 juta dan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM2.6 juta.
Walaupun hasil meningkat 11.2 peratus daripada RM8 juta pada suku yang sama tahun lepas (S1 TK2024), PBT merosot sebanyak 65.6 peratus daripada RM7.4 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tex Cycle, Gary Dass A/L Anthony Francis berkata, pihaknya berterima kasih kepada pemegang saham syarikat atas kepercayaan dan kelulusan berterusan mereka terhadap resolusi penting yang akan membentuk fasa pertumbuhan Tex Cycle seterusnya.
“Keputusan Q1 mencerminkan kekuatan teras dan mempercepatkan pelan hala tuju ESG kami dan meluaskan pangkalan perkhidmatan kami di seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau menambah, Kumpulan kekal optimistik mengenai hala tuju strategiknya, terutama dengan penguatkuasaan yang lebih tinggi oleh Kerajaan terhadap pematuhan sisa terjadual dan desakan untuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
Dengan kejayaan AGM dan EGM serta inisiatif penambahbaikan berterusan, Tex Cycle berada pada kedudukan yang baik untuk membina momentumnya dan memacu lagi penciptaan nilai jangka panjang, katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001