PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) meraih tempat ke final Liga Juara-Juara ketika jaringan Fabian Ruiz dan Achraf Hakimi membantu mereka menang 2-1 ke atas Arsenal pada separuh akhir kedua awal pagi tadi, memastikan kemaraan 3-1 secara agregat.
Ruiz merembat masuk dari penjuru kotak penalti pada minit ke-27 di Parc des Princes untuk meletakkan PSG di depan selepas mereka bertahan dengan asakan awal bertali arus pasukan pelawat.
Mendahului pada perlawanan itu selepas gol Ousmane Dembele pada aksi pertama minggu lalu, PSG kemudian menyaksikan sepakan penalti Vitinha diselamatkan pada babak kedua.
Bagaimanapun, Hakimi terus menekan Arsenal apabila dia menjaringkan gol kedua pada minit ke-72, sekali pun Bukayo Saka membalas satu gol buat pelawat empat minit kemudian.
PSG layak ke perlawanan akhir di Munich pada 31 Mei ini menentang Inter Milan dan ia adalah final Liga Juara-Juara kedua dalam sejarah mereka, lima tahun selepas tumpas di tangan Bayern Munich di Lisbon.
Arsenal pula menyaksikan impian Eropah mereka berkubur ketika mereka gagal layak ke final kali kedua, 19 tahun selepas tunduk kepada Barcelona di Paris.
Masih tidak meraih sebarang trofi sejak Piala FA 2020, apa yang tinggal buat pasukan kendalian Mikel Arteta adalah muncul naib juara Liga Perdana Inggeris buat kali ketiga berturut-turut.
Suasana terlalu meriah sepanjang petang di Paris dan PSG mampu meraikan kejayaan ke final di depan penyokong mereka buat kali pertama, selepas kemenangan ke atas RB Leipzig pada separuh akhir 2020 dijalankan secara tertutup kerana pandemik COVID-19.
Penjaring gol terbanyak PSG, Dembele tidak diturunkan dalam kesebelasan utama selepas dikeluarkan kerana masalah hamstring pada aksi pertama.
Arsenal, dengan Thomas Partey kembali di bahagian tengah sesudah terlepas aksi pertama susulan penggantungan perlawanan, melakukan yang terbaik untuk cuba melenyapkan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah dengan mengasak sebaik aksi bermula.
Namun PSG membuka tirai jaringan sebelum sejam, gol hadir susulan sepakan percuma yang diberikan berikutan kekasaran Declan Rice ke atas Khvicha Kvaratskhelia.
Sepakan percuma Vitinha ditanduk oleh Partey tetapi singgah di kaki Ruiz di penjuru kotak penalti dan dia mengawal bola sebelum merembat masuk dengan kaki kiri.
Satu tindakan penyelamat memukau penjaga gol PSG, Gianluigi Donnaruma mengekang Saka daripada menyamakan kedudukan pada minit ke-64 sebelum PSG dihadiahkan sepakan penalti.
Pengadil dari Jerman, Felix Zwayer menghadiahkan penalti itu selepas menyemak monitor di tepi padang apabila percubaan Hakimi terkena tangan pemain Arsenal, Myles Lewis-Skelly.
Mikel berang dengan keputusan itu, namun tendangan Vitinha diselamatkan penjaga gol The Gunners, David Raya yang melayangkan badannya ke sebelah kiri.
Bagaimanapun, PSG menjadikan kedudukan 2-0 apabila Dembele, yang tampil dari bangku simpanan, mengumpan kepada Hakimi untuk menamatkannya dengan bergaya.
Saka membalas satu gol dari jarak dekat selepas pemain gantian Arsenal, Leandro Trossard meluru mengatasi Marquinhos di sebelah sayap. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001